KUALA LUMPUR - Pengecualian pembayaran caj jalan (RC) sebanyak RM20 bagi semua kenderaan persendirian pendaftaran Singapura yang memasuki Malaysia akan dilaksanakan untuk tempoh tujuh hari mulai 1 April ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pengecualian itu bertujuan mengelak kesesakan berlaku di kedua-dua pintu masuk sempadan darat negara (Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar) sekiranya pengembara tidak mempunyai baki mencukupi atau kad Touch ‘n Go yang masih sah.
"Setelah berbincang dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, saya bersetuju untuk mengecualikan pembayaran RC yang dikenakan kepada semua kenderaan pendaftaran Singapura berkaitan, yang akan memasuki Malaysia untuk tempoh 7 hari mulai 1 hingga 7 April ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, tempoh masa itu hendaklah digunakan semua pengembara dan pemandu kenderaan pendaftaran Singapura sama ada memperbaharui atau mendapatkan kad Touch ‘n Go atau menambah nilai dalam kad tersebut atau mendaftar dan memasang tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) pada kenderaan masing-masing.
"Mana-mana kenderaan pendaftaran Singapura yang telah pun berdaftar dan dipasang tag RFID VEP juga akan turut dikecualikan daripada pembayaran RC dalam tempoh sama,” katanya.
Beliau berkata, keputusan itu turut mengambil kira penutupan sempadan Malaysia dan Singapura sejak dua tahun lepas, dan rakyat Singapura tidak dapat memasuki Malaysia untuk menambah nilai dalam kad Touch n’ Go mereka selain kad yang telah luput tempoh sah lakunya.Beliau, bagaimanapun berkata, semua pengembara diingatkan bahawa RC akan dikuatkuasakan semula mulai 8 April ini.
"Pengecualian ini kelak bukan sahaja akan membawa manfaat kepada semua rakyat Malaysia dan penduduk Johor, tetapi juga akan dinikmati oleh warganegara Singapura dan lain-lain negara, yang akan mengembara ke Malaysia dan Johor susulan kepada pembukaan sempadan negara kelak,” katanya.
Sebelum ini, kedua-dua negara akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan mulai 1 April ini.
Kebenaran ini terpakai kepada semua kategori pengembara dan penggunaan semua jenis mod pengangkutan darat termasuk motosikal, motokar persendirian dan semua kelas kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan seperti bas henti-henti, bas ekpres, bas pelancongan, bas pekerja dan teksi rentas sempadan. - Bernama