TERENGGANU Hockey Team (THT) berada pada landasan tepat untuk meraih gelaran treble musim ini, apabila mara ke final Piala TNB 2022 dengan kemenangan agregat 2-1 ke atas Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Kemenangan tipis 1-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Isnin, sudah cukup untuk juara bertahan itu untuk melangkah ke final, selepas meraih Piala Sumbangsih dan gelaran Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini.
Skuad kendalian Roslan Jamaluddin yang turun beraksi secara berhati-hati dengan corak bertahan, menjaringkan gol kemenangan menerusi pukulan sudut penalti penyerang berbisa Faizal Saari pada minit ke-27.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh akhir pertama, Jumaat lepas.
Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut mengesahkan slot ke final selepas membenam Maybank 5-1, untuk mara ke final dengan agregat 6-3.
Selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Maybank, naib juara LHM 2022 itu tampak garang apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal melengkapkan dua gol padang pada suku pertama (minit 10 dan 12).
TNB terus melebarkan jurang gol menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Shahril Saaba pada minit ke-36, sebelum Maybank merapatkan kedudukan melalui jaringan padang Muhammad Haziq Samsul pada minit ke-59.
Namun, TNB pantas bertindak untuk menjarakkan perbezaan menerusi dua gol padang daripada Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Norshafiq Sumantri, masing-masing pada minit ke-59 dan ke-60.
Aksi final antara THT dan TNB dijadual pada 8.30 malam, Khamis ini (31 Mac) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. - Bernama