Tiada naturalisasi, tiada masalah

Iklan
Krasniqi dan Sumareh ketika menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya. - Foto Football Association of Malaysia (Gambar kecil: Azraai Khor)

HARIMAU Malaya dijangka tidak berdepan masalah menentang pasukan lain di peringkat antarabangsa walaupun tanpa kehadiran pemain naturalisasi.

Jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah berkata, ia terbukti apabila para pemain Malaysia yang diturunkan berjaya bermain dengan baik pada perlawanan persahabatan Siri Tiga Negara di Singapura baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurut bekas pengendali Kedah itu, beliau tidak melihat kedua-dua pemain naturalisasi yang disenaraikan Kim Pan-gon iaitu Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi memberi impak kepada persembahan pasukan kebangsaan.

"Saya rasa pasukan negara tidak akan ada masalah untuk bermain dengan baik sekiranya tiada kedua-dua pemain naturalisasi ini. Sama ada mereka ada atau tidak, ia langsung tidak beri kesan kepada skuad kebangsaan kerana kedua-dua pemain ini tidak memberi apa-apa impak kepada pasukan kebangsaan dalam perlawanan persahabatan menentang Filipina dan Singapura.

Iklan

"Sebagai contoh Liridon pada perlawanan awal menentang Filipina, saya lihat kemasukannya pada babak kedua hanya memperlahankan rentak permainan yang mana sebelum itu pasukan bermain dengan sangat laju.

"Untuk Sumareh persembahannya pada kedua-dua perlawanan kali ini tidak memberangsangkan terutama ketika perlawanan menentang Singapura apabila dia dimasukkan bagi menggantikan Syafiq Ahmad.

Iklan

"Tetapi apa-apapun terpulang kepada Pan-gon sama ada untuk menyenaraikan mereka dalam pasukan selepas ini. Tetapi kalau ditanya kepada saya Pan-gon perlu mencari pemain yang lebih baik untuk menggantikan mereka,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Isnin.

Sebelum ini, Liridon dan Sumareh dikritik hebat oleh peminat bola sepak tanah air selepas gagal mempamerkan aksi yang baik pada perlawanan persahabatan menentang FIlipina dan Singapura.

Malah peminat sukan tanah air turut mencadangkan agar Pan-gon menggugurkan kedua-dua nama itu pada aksi seterusnya dan memberi tumpuan kepada pemain-pemain tempatan.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai aksi keseluruhan pasukan kebangsaan dalam kedua-dua perlawanan itu, Azraai tanpa berselindung nyata menyukai corak permainan yang ditampilkan pasukan kebangsaan.

Menurut beliau, sekiranya corak permainan yang ditampilkan ketika ini dapat dikekalkan, dia tidak menolak Malaysia mampu untuk mencatatkan keputusan positif pada saingan saingan kelayakan Piala Asia, Jun depan seterusnya mampu untuk layak secara merit ke kejohanan bola sepak terbesar Asia itu.

"Secara keseluruhan, saya kagum dengan corak permainan yang ditampilkan pasukan. Mereka ada kepantasan dalam menyerang dan mampu bertahan dengan baik.

"Insya-ALLAH kalau mereka berjaya tampilkan permainan seperti ini, saya tidak tolak kemungkinan Malaysia mampu layak ke Piala Asia tahun depan,” ujarnya.