Harga bufet berbuka puasa meningkat 10 peratus

Iklan
Tinjauan Sinar Harian di beberapa buah hotel dan restoran secara dalam talian mendapati harga bufet Ramadan di kebanyakan hotel di sekitar Lembah Klang berlaku peningkatan.

SHAH ALAM - Harga hidangan bufet berbuka puasa di beberapa buah hotel dan restoran di sekitar Lembah Klang meningkat sekitar 10 peratus berbanding bulan Ramadan pada tahun lalu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa buah hotel dan restoran secara dalam talian mendapati harga bufet di kebanyakan hotel di sekitar Lembah Klang meningkat disebabkan harga barangan yang mulai naik sejak kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pelanggan masih didapati menempah slot bufet berbuka puasa di premis-premis yang menawarkan harga promosi sebelum Ramadan bermula pada Ahad ini.

Ketua Pengarah Eksekutif Grand Barakah Hotel di Ampang, Datuk Seri Razali Md Sham berkata, harga bufet berbuka puasa di hotelnya meningkat sekitar RM90 pada tahun lalu kepada RM118 tahun ini.

Iklan

Menurutnya, selain daripada peningkatan harga barang mentah, kos-kos lain seperti pembayaran upah dan pengurusan juga menjadi punca kenaikan harga bufet Ramadan tersebut.

Razali

"Harga (bufet berbuka puasa) sebelum ini dari RM90, sekarang mungkin sehingga RM118. Kenaikan mungkin sekitar 10 peratus sejak tahun lalu.

Iklan

"Harga barang pun dah mahal sekarang, termasuk dengan kos upah dan pengurusan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, seorang pegawai pemasaran di sebuah hotel di Seksyen 14, di sini yang ingin dikenali sebagai Shahril berkata, pihak hotel menawarkan harga promosi bufet berbuka puasa sebelum Ramadan bermula bagi menarik pelanggan menempah slot bufet lebih awal.

Ujarnya, terdapat beberapa tarikh pada minggu pertama Ramadan mula dipenuhi tempahan oleh para pelanggan termasuk pada 7 April depan.

"Buat masa ini harga bufet berbuka puasa untuk orang dewasa ada promosi pada harga RM110 seorang berbanding harga asal RM145, untuk pembayaran sebelum 1 Ramadan, manakala harga untuk kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun pula sebanyak RM90.

"Ada sesetengah tarikh masih kosong, tapi untuk 7 April dah penuh, setakat ini dewan makan kami boleh memuatkan sehingga 190 orang dalam satu masa untuk bufet Ramadan," katanya.

Berbeza pula dengan pemilik syarikat perancang perkahwinan di Setia Alam, Rita Hartini Rozali yang masih mengekalkan harga bufet berbuka puasa di premisnya sebanyak RM69.90 seorang bagi golongan dewasa dan RM35 untuk kanak-kanak walaupun menanggung kesan kenaikan harga barangan.

Rita Hartini

Tidak cukup dengan itu, pihaknya turut menambah menu juadah berbuka puasa di premisnya daripada 55 juadah sebelum ini kepada 125 juadah pada kali ini.

"Tiga tahun berturut-turut kita masih kekalkan harga walaupun harga bahan mentah naik. Tapi disebabkan banyak pesaing, kita tidak boleh tawarkan harga yang terlalu tinggi.

"Walaupun untung tidak banyak, tapi kita kekalkan harga untuk kekal bersaing dengan harga bufet di hotel-hotel yang lebih eksklusif," katanya.

Bagi Hasrul Hashim, 37, yang sering menghadiri bufet berbuka puasa di hotel pada bulan Ramadan, kenaikan harga bufet pada tahun ini didapati agak tidak munasabah.

Hasrul

Katanya, jika harga bufet berbuka puasa di hotel pada tahun lalu hanya sekitar RM110 hingga RM185, kini terdapat hotel-hotel terutama di Kuala Lumpur mula meningkatkan harga bufet sehingga lebih RM200.

"Pada saya, hotel yang menaikkan harga bufet atas alasan kenaikan harga barang mentah adalah tidak munasabah dan mengambil kesempatan semata-mata. Kalau mereka naikkan harga tapi menambah menu, boleh sahaja," katanya yang merupakan seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan.