Syamsul masih belum puas hati

Iklan
Syamsul ketika memberi arahan kepada pemain Kelantan United semasa perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

PENGENDALI Kelantan United FC, Syamsul Mohd Saad menarik nafas lega apabila The Green Deers meraih kemenangan sulung di pentas Liga Premier selepas menewaskan PDRM FC, 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Meskipun berjaya meraih kemenangan, Syamsul mengakui masih belum berpuas hati dengan persembahan ditampilkan anak buahnya.

Iklan
Iklan

Katanya, persembahan baik ditunjukkan The Cops menjadi punca para pemainnya panik terutama dalam tempoh 15 minit terakhir bagi mempertahankan kelebihan jaringan Njoku Jacob pada minit-56 sebelum itu.

"Saya tahu pemain sudah berikan terbaik yang mereka boleh berikan cuma masalahnya, kita boleh nampak semasa kita dalam situasi sedang mendahului, pemain-pemain sangat takut memegang bola terlalu lama kerana mereka tertekan untuk menang.

Iklan

"Malah dalam situasi seorang sahaja pemain lawan memberikan tekanan dan kita ada dua pemain di bawah, mereka tetap menyepak bola keluar dari kawasan sendiri.

"Bagaimanapun, saya tetap mahu mengucapkan tahniah pemain-pemain kerana berjaya menang ke atas PDRM kerana lawan sebenarnya bermain sangat baik dengan menguasai sebahagian besar perlawanan, harap kemenangan ini mampu menaikkan moral pasukan,” katanya.

Iklan

Kemenangan itu membolehkan Kelantan United naik ke tangga keenam selepas mengutip tiga mata dalam dua perlawanan selepas sebelum ini tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim II pada perlawanan sulung The Green Deers di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.