SHAH ALAM - Kelewatan projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) di jajaran Assam Jawa - Tanjong Karang disebabkan isu pengambilalihan tanah dan alihan utiliti.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim menjelaskan, status terkini kemajuan projek di jajaran Assam Jawa - Tanjong Karang adalah 13.99 peratus.
"Jajaran Assam Jawa - Sungai Terap sejauh 19.5 kilometer sudah berjalan untuk kerja rawatan tanah dan penanaman cerucuk bagaimanapun jajaran Sungai Terap - Tanjong sejauh 10 kilometer berdepan kelewatan.
"Ini disebabkan masalah berlakunya pertukaran jajaran sedia ada atas bantahan penduduk setempat sebelum ini,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong).
Ir Izham (Amanah-Pandan Indah) menjelaskan, kos kelewatan ini ditanggung pemaju yang diberi tanggungjawab untuk menyiapkan projek ini dan bukannya kerajaan negeri.
"Projek WCE ini dimulakan pada 25 Ogos 2014 lalu dan dijangka siap pada 24 Ogos tahun ini bagaimanapun kelewatan yang berlaku ini adalah biasa kerana melibatkan isu tanah dan utiliti.
"Bagaimanapun kerajaan negeri sentiasa memantau pelaksanaan projek lebuhraya di Selangor melalui mesyuarat berkala melibatkan semua pihak,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Lau Weng San (DAP-Banting).
Terdahulu Weng San membangkitkan kebimbangan terhadap kelewatan projek WCE untuk jajaran Kuala Selangor-Banting yang difahamkan akan siap menjelang tahun depan.