Perkeso perkenal program rehabilitasi secara telesidang

Iklan
Pesakit ketika menjalani rawatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, Melaka.

AYER KEROH - Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial Perkeso Tun Abdul Razak (PRP Tun Abdul Razak) bakal memperkenalkan program rehabilitasi secara telesidang kepada pencarum atau orang berinsurans (OB) yang layak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Hafez Hussain berkata, program tersebut bagi membolehkan pencarum yang mengalami kecederaan mendapat rawatan walau di mana sahaja mereka berada.

Dr Hafez

Iklan
Iklan

Menurut beliau, ia sejajar dengan peralihan ke fasa endemik yang akan dilaksanakan pada 1 April ini.

"Walau di mana sahaja mereka berada sekalipun kita boleh bersama-sama mereka dengan menggunakan apa sahaja alat teknologi yang ada untuk meneruskan program rehabilitasi.

Iklan

"Program ini telah dikembangkan sewaktu pandemik Covid-19 itu sendiri dan dengan pengalaman kita sepanjang dua tahun yang lalu, maka insya-ALLAH program ini akan dapat dipertingkatkan lagi.

"Secara amnya, kita melihat sebagai telerehabilitasi atau penggunaan teknologi ini sebagai satu pemboleh baik lagi kepada penyampaian perkhidmatan rehabilitasi kepada semua pesakit seluruh Malaysia.

Iklan

"Tidak semua bernasib baik untuk datang ke pusat rehabilitasi Perkeso ini. Oleh itu, untuk mengurangkan jurang, kita gunakan teknologi ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, teknologi seperti internet, persidangan video akan menjadi perantara di antara ahli terapi dan juga OB.

Pesakit ketika menjalani rawatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, Melaka.

Jelasnya, PRP akan memberikan alatan yang mudah digunakan seperti sarung tangan rehabilitasi kepada mereka yang berkelayakan.

Ini supaya, jelas beliau, mereka ini tidak terlalu lama berada di pusat rehabilitasi dan dapat meneruskan rehabilitasi di rumah masing-masing atau di tempat kerja.

Bagaimanapun, Hafez berkata, ia bergantung kepada penilaian kecederaan mereka untuk mendapatkan rawatan, jika serius dan kritikal ia akan ditempatkan di pusat rehabilitasi ini bagi membantu mereka pulih dengan segera.

"Program ini harus kita perluaskan lagi khusus kepada mereka yang memerlukan dan ada di antara mereka yang harus masuk ke tempat kerja secepat mungkin kerana diperlukan majikan.

"Jadi kita harus bantu golongan ini lebih produktif tetapi tidak juga mengurangkan kebolehfungsian mereka untuk bekerja,” jelasnya.

Tambah beliau, antara sebab kaedah tersebut dilaksanakan adalah kerana jumlah kapasiti katil yang disediakan terhad di pusat rehabilitasi.

Jelasnya, sebanyak 381 katil disediakan di PRP Tun Razak dan kesemuanya telah diduduki malahan masih terdapat senarai menunggu untuk masuk ke pusat itu.

Mengulas mengenai meluaskan kawasan rehabilitasi, beliau berkata, pihaknya merancang untuk menggunakan baki satu per tiga tanah lagi untuk mewujudkan hospital trauma.

"Sekarang kita baru guna dua per tiga. Jadi, dengan adanya bantuan dan sokongan semua pihak, kita berhasrat untuk membesarkannya.

"Ia bukan hanya lebih pusat rehab tetapi untuk buka satu lagi bangunan yang boleh menyokong rehab ini iaitu hospital trauma.

"Ia merupakan komponen sangat utama untuk merawat secara awal sebelum pesakit pergi ke rehab,” ujarnya.

Sehingga kini, sebanyak enam buah pusat rehabilitasi telah dibangunkan Perkeso di seluruh negara iaitu di Ayer Keroh, Melaka; Ara Damansara, Selangor; Quill City Mall, Kuala Lumpur; Tanjung Pelepas, Johor Bahru; dan Kuala Terengganu, Terengganu dan juga kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang dan Kubang Kerian.

Pesakit ketika menjalani rawatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, Melaka.

Hafez memaklumkan, Perkeso akan membuka satu lagi Pusat Rehabilitasi Perkeso baharu di Ipoh, Perak yang dijangka siap pada Oktober 2024.

Jelasnya, ia bakal menjadi pusat Neuro-Robotics dan Cybernics terbesar di Asia Tenggara.

"Pusat rehabilitasi ketujuh ini akan dibina di atas tanah seluas 36.81 hektar melalui kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan peruntukkan bajet RM500 juta,” katanya.