SHAH ALAM - Semua parti dalam Muafakat Nasional (MN) seharusnya bergerak ke arah mewujudkan muafakat umat tanpa menyalahkan antara satu sama lain.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mereka seharusnya bergerak ke hadapan untuk menyatukan semua pihak di samping memiliki sumbangan masing-masing.
"Itu lebih baik daripada kita meletakkan beban orang itu salah, orang ini salah. Lebih baik kita teruskan ke hadapan untuk menjadikan muafakat umat yang dapat disatukan daripada semua pihak.
"Semua orang ada sumbangan, kita harus akui contohnya macam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ada sumbangan mereka tersendiri dalam kerajaan."Jadi sumbangan itu ada, semua pihak harus menghargai daripada menyalahkan satu sama lain yang akhirnya tiada jalan penyelesaian,” katanya kepada media pada Selasa.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutup Program Sustain The World Virtual Camp 2022 (STWVC 2022) dan Majlis Pelancaran Rakan Alam Sekitar 2.0 di Dewan Sri Budiman UiTM Shah Alam, di sini.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang seharusnya tidak menyalahkan UMNO dengan dakwaan yang dibuatnya bahawa ada pihak tertentu cuba membawa agenda persendirian sehingga usaha kerjasama melalui MN tergendala.
Beliau berkata, ia disebabkan tiada sefahaman itu pada asalnya bermula dengan orang-orang tertentu di dalam Pas.
Tambah Tuan Ibrahim, walaupun mesyuarat MN sudah lama tidak dilaksanakan tetapi beliau masih berhubung dengan pemimpin UMNO.
"Hubungan masih ada, saya masih berhubung dengan pimpinan UMNO pun cuma mesyuarat rasmi MN itu ditangguhkan dahulu,” ujarnya.