Rela membujang demi jaga adik lumpuh

Iklan
Fauzi setia menjaga adiknya, Firdaus dan antara rutin setiap hari menyalurkan susu khas menerusi tiub yang dipasang di dalam hidung.

TEMERLOH - Seorang tukang pendawaian rela membujang sehingga kini demi menjaga adiknya yang lumpuh akibat kemalangan sejak 12 tahun lalu.

Wan Mohd Fauzi Wan Azmi, 39, dari Taman Seri Semantan yang juga anak sulung daripada enam beradik berkorban menjaga adiknya, Wan Mohd Firdaus, 32, yang terlantar akibat dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di daerah ini pada tahun 2010.

Iklan
Iklan

Menurut Wan Mohd Fauzi, dia ikhlas menjaga adiknya yang kini sudah tidak mampu bertutur akibat kemalangan terbabit.

"Kami semua anak yatim piatu, jika bukan adik-beradik yang jaga siapa lagi boleh diharapkan.

Iklan

"Saya ikhlas jaga adik dan reda tidak bertemu jodoh hingga kini atas ujian yang dihadapi kami sekeluarga," katanya kepada Sinar Harian.

Wan Mohd Fauzi berkata, sudah menjadi rutinnya setiap hari membersihkan, menukar lampin pakai buang dan tiub susu adiknya itu selain memberikan susu khas menerusi tiub yang dipasang ke dalam hidung setiap empat jam sekali.

Iklan
Wan Mohd Fauzi

"Nasib baik saya bekerja sendiri, bolehlah pulang ke rumah untuk memberikan susu kepadanya.

"Saya tidak anggap tugas ini membebankan kerana ia tanggungjawab kami selaku ahli keluarga," katanya.

Keluarga itu ditemui ketika kunjungan Kelab Motor Arissa Temerloh yang diketuai Pengerusinya, Ratnawati Bahari baru-baru ini.

Jelas Wan Mohd Fauzi, dia bersyukur kerana adik-beradik yang lain turut membantu menguruskan Wan Mohd Firdaus.

Kelab Motor Arissa Temerloh diketuai Pengerusinya, Ratnawati (dua dari kanan,berdiri) ketika mengunjungi dan menyampaikan bantuan kepada keluarga Wan Mohd Fauzi.

"Setiap bulan, adik memerlukan kira-kira 13 tin susu khas melibatkan perbelanjaan hingga RM1,200 sebulan untuk susu sahaja tidak termasuk keperluan lain seperti lampin pakai buang.

"Setakat ini, ada dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dan bantuan zakat RM300 sebulan," katanya.

Tambah Wan Mohd Fauzi, dia dan adik-beradiknya yang lain menaruh harapan tinggi untuk melihat Wan Mohd Firdaus kembali sembuh.

"Sebelum kemalangan, adik seorang yang ceria dan ringan tulang. Kami sentiasa doakan dia segera sembuh," jelasnya.

Sementara itu, Ratnawati kagum dengan semangat keluarga tersebut dan bersimpati dengan nasib yang dialami oleh Wan Mohd Firdaus.

"Kami cuba membantu mengikut kemampuan kelab kami untuk meringankan beban mereka," katanya.