KUALA SELANGOR - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merancang membina dua kilang pembuatan secara bertingkat di negeri ini bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan lagi perniagaan mereka pada masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahmud Abbas berkata, dua kawasan yang dikenal pasti itu ialah di Kota Puteri, Kuala Selangor dan sebuah lagi di Klang.
Menurutnya, dua projek yang menelan belanja RM15 juta itu mempunyai sebanyak 200 unit secara keseluruhannya dijangka memulakan kerja pembinaan pada pertengahan tahun ini.
"Kita sudah kenal pasti dua lokasi ini dan sedang membuat kajian daripada penduduk setempat," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Semula De Palma Eco Resort Kuala Selangor di sini pada Selasa.
Mahmud berkata, konsep itu diyakini lebih menjimatkan penggunaan tanah dan hanya memerlukan kira-kira dua hektar kawasan sahaja bagi pembinaan kilang terbabit.
"Contohnya di Singapura apabila tanah berkurang, maka mereka buka kilang dengan penggunaan tanah minimum iaitu secara bertingkat.
"Bukan sahaja kilang bertingkat, malah lori mengangkut muatan barang juga boleh naik sampai ke tingkat empat, tetapi PKNS tidaklah buat begitu," jelasnya.
Ujar beliau, pembinaan kilang pembuatan itu dibangunkan di lokasi strategik iaitu tidak jauh daripada kawasan perumahan penduduk.
"Misalnya kalau kita buat kilang di Kuala Selangor, bermakna ia secara tidak langsung memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menyewa bangunan terbabit.