PENGURUS Ivory Coast Patrice Beaumelle tidak akan berputus asa bagi mendapatkan pemain muda England, Marc Guehi untuk beraksi bersama The Elephants.
Menurut Beaumelle, Guehi yang dilahirkan di Abidjan,Ivory Coast dilihat prospek penting di benteng pertahanan Ivory Coast pada masa akan datang.
"Saya telah memantau perkembangan Guehi sejak dua tahun lalu ketika dia beraksi bersama Swansea.
"Daripada pemerhatian saya, dia merupakan pemain yang bagus dan bakatnya sedang berkembang ketika ini.
"Apa pun, saya tahu dia masih boleh memilih sama ada beraksi untuk beraksi bersama England atau negara kelahirannya,” katanya.
Untuk rekod, Guehi, 21 juga merupakan bekas pemain skuad belia Chelsea sudah pun memiliki dua caps bersama England berdepan Ivory Coast.
Malah, pemain Crystal Palace itu telah beraksi cemerlang bagi membantu kemenangan England ke atas Switzerland, minggu lalu dan dilihat sebagai antara calon pilihan yang bakal membarisi kesebelasan utama England pada Piala Dunia 2022, kelak.
Mengulas lanjut, Beaumelle berkata, aksi Guehi dilihat banyak meningkat sejak beraksi bersama Swansea.
Katanya, Guehi yang ketika ini dipinjamkan ke Crystal Palace turut beraksi cemerlang bagi membantu benteng pertahanan pasukan.
"Dia beraksi cemerlang bersama England tetapi mungkin jika dia menyarung jersi oren Ivory Coast, dia akan menjadi lebih cemerlang.
"Apa pun, saya akan menunggu beberapa minggu sebelum menghubunginya semua dan bertanyakan apakah dia berminat (mewakili Ivory Coast),” katanya.