35 pasukan sahut cabaran Piala Menteri Besar Kedah

Iklan
Widad K-League (Gambar kecil: Mohd Fuad)

KALENDAR bola sepak di negeri Kedah terus meriah apabila 35 pasukan bakal menyertai kejohanan Piala Menteri Besar Kedah Widad K-League 2022 yang bermula awal Jun sehingga Ogos ini.

Kejohanan ini adalah pertandingan kedua yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pada tahun ini selepas Junior Cup 2022 bawah 12 tahun yang menyaksikan Kenari Kid Jitra muncul juara sulung pada 26 Februari lalu.

Iklan
Iklan

Menurut Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan KFA, Mohd Fuad Abdullah berkata, seramai 857 pemain dari seluruh negeri ini akan menyertai kejohanan Piala Menteri Besar Kedah bagi merancakkan kembali aktiviti bola sepak di seluruh Kedah.

"KFA mahu mengembalikan semula suasana kemeriahan kejohanan bola sepak yang mana turut menjadi platform untuk pemain mempamerkan bakat masing-masing dalam tempoh tiga bulan ini.

Iklan

"Kejohanan seperti ini secara tidak langsung bakal menjadi medan kepada mana-mana pasukan seperti M3, Piala Emas Raja-Raja ataupun syarikat korporat yang mahu mendapatkan bakat baharu untuk memperkuatkan pasukan masing-masing," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Fuad berkata, johan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala naib johan pula membawa pulang RM5,000.

Iklan

Jelasnya, beberapa lagi kejohanan di bawah Widad K-League 2022 akan diadakan antaranya Piala KFA, Liga Futsal KFA dan Kejohanan Bola Sepak Pantai (KFA Beach Soccer).