KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan dicadangkan memberi diskaun 50 peratus kepada semua pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan air di seluruh negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim memberikan cadangan itu selepas Gua Musang antaranya yang mengalami masalah gangguan air tersebut lebih setahun.
Katanya, lebih 3,000 keluarga di kawasan itu mengalami gangguan air termasuk 1,500 keluarga di Bandar Utama dan selebihnya di Bandar Lama serta Kampung Sungai Teras hingga terpaksa menadah air hujan.
"Saya ingat masalah air ini di Gua Musang sahaja, rupa-rupanya turut berlaku kawasan lain dan isu ini boleh dikatakan barah kepada kerajaan Kelantan.
"Jadi, untuk meredakan sedikit kemarahan rakyat terhadap kerjaaan negeri, saya cadangkan potongan 50 peratus bil diberikan.
"Kita dapat rungutan rakyat terpaksa bayar ‘angin’ bukan air dan tidak sepatutnya kerajaan negeri menerima musibah disebabkan kegagalan Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB),” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 Penggal Kelima, di sini, pada Selasa.
Mohd Syahbuddin sebelum itu turut menyatakan cadangan tersebut semasa sesi perbahasan titah diraja di Persidangan DUN Kelantan ke-14 Penggal Kelima berkenaan.
Mengulas lanjut, tangki air juga perlu dibekalkan di semua kawasan yang terjejas dengan gangguan bekalan air.
"Saya berharap cadangan pemotongan bil air itu dapat dipertimbangkan oleh kerajaan negeri selain tanda keadilan sebagai sebuah negeri yang berkebajikan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Syahbuddin berkata, peratusan suntikan vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak orang asli berusia antara lima hingga 11 tahun masih rendah berikutan ramai ibu bapa dan penjaga mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
"Ada yang terpengaruh dengan khabar negatif berkaitan kesan vaksin dan menunggu anak-anak Tok Batin serta penghulu yang terlebih dahulu menerima suntikan.
"Jika tidak ada kesan mudarat, barulah mereka akan membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan suntikan,” katanya.