SHAH ALAM - Penguatkuasaan semata-mata sukar untuk menurunkan jumlah jangkitan Covid-19 jika masyarakat masih leka dan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Shahrul Laili Masduki berkata, rondaan dan pemantauan dilakukan sejak awal pandemik Covid-19 menyerang dunia tetapi sukar ditangani sepenuhnya tanpa kerjasama orang ramai.
"Rondaan dilakukan di lokasi tumpuan sehingga negara sudah memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4," katanya kepada Sinar Harian selepas sesi kunjungan di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Menurutnya, Selangor mencatatkan nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) tertinggi pada 1.08 sekali gus menjadi satu perkara yang membimbangkan.
"Dalam soal ini, bukan sekadar pihak berkuasa sahaja yang menjalankan penguatkuasaan semata-mata namun masyarakat juga perlu terus mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Walaupun banyak kelonggaran yang diberikan namun jangan sesekali leka, utamakan keselamatan diri dan keluarga. Elakkan ke tempat berisiko," katanya.
Pada Selasa, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 13,336 kes positif baharu menjadikan jumlah keseluruhan dijangkiti Covid-19 di negara ini kini sebanyak 4,152,203 kes.
Nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara pada paras 0.92 dengan Selangor mencatatkan nilai Rt tertinggi pada paras 1.08 pada Isnin.
Angka tersebut diikuti Kuala Lumpur dengan 0.94, Perak (0.93), masing-masing 0.92 di Melaka dan Sarawak; Pulau Pinang (0.86); Negeri Sembilan (0.85), Putrajaya (0.84), masing-masing 0.80 di Johor, Pahang dan Perlis, Terengganu (0.78), masing-masing 0.76 di Kedah dan Labuan, Kelantan (0.71) dan Sabah (0.65).