PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) disaran menilai beberapa kriteria penting terlebih dahulu sebelum membuat keputusan melantik jurulatih baharu bagi mengemudi bahagian beregu lelaki negara.
Legenda beregu badminton negara, Datuk Razif Sidek berkata, penetapan kriteria itu perlu merangkumi kemampuan individu terbabit untuk mengenali budaya sukan badminton di Malaysia.
Menurut Razif, kriteria tersebut amat penting terutamanya dalam memastikan para pemain beregu negara dapat mengikut dengan cara permainan yang ditetapkan oleh pengarah teknikal.
"Pada pendapat saya, tiada masalah kalau BAM nak lantik jurulatih beregu lelaki ini dalam kalangan orang tempatan ataupun orang luar. Apa yang penting adalah jurulatih itu perlu memahami budaya badminton negara kita.
"Tidak kiralah jurulatih itu baik macam mana pun, kalau dia tidak faham dengan budaya kita bermain, kualiti pemain yang kita ada ketika ini, saya rasa pada akhir nanti kita sendiri yang kan rugi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Pada Isnin, jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele bakal meninggalkan BAM berkuatkuasa 1 April depan selepas beliau memutuskan untuk tidak menyambung kontrak bersama badan induk itu meskipun sudah ditawarkan kontrak lanjutan.
Menurut Flandy, keputusan tersebut dibuat oleh selepas mengadakan perbincangan bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky sambil memberitahu sekarang merupakan waktu yang tepat buat dirinya untuk mengundurkan diri daripada skuad badminton negara.
Dalam pada itu, Razif berkata, sekiranya BAM berhasrat mendapatkan jurulatih import bagi menggantikan Flandy, badan induk itu perlulah melantik seorang pembantu jurulatih dalam kalangan orang tempatan.
Jelas beliau, tindakan tersebut dilihat akan membantu melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu dalam bidang kejurulatihan, sekali gus akan membantu perkembangan sukan badminton di negara ini.
"Sebab apa yang saya lihat ketika ini, kita sebenarnya tidak ketandusan jurulatih-jurulatih tempatan, cuma mereka tidak diberi pendedahan yang banyak.
"Jadi saya mencadangkan, kalau BAM nak ambil ketua jurulatih dari luar, mereka kena memastikan pembantu itu perlulah dalam kalangan orang tempatan supaya mereka dapat belajar dan peroleh lebih banyak ilmu.
"Sebab kalau mereka tidak diberi pendedahan, sampai bila-bila kita akan bergantung kepada tenaga luar, walhal kita mempunyai bekas-bekas pemain yang mampu menyinar dalam bidang kejurulatihan,” katanya.