APA Khabar Rakyat kali ini mengikuti nasib penjaja Bazar Karat Johor Bahru yang mencari rezeki demi meneruskan kehidupan di tengah kota Apa Khabar Rakyat kali ini mengikuti nasib penjaja Bazar Karat Johor Bahru yang mencari rezeki demi meneruskan kehidupan di tengah kota raya.
Dalam tinjauan dilakukan mendapati rata-rata mereka yang terdiri daripada golongan anak muda hanya dapat menjual barangan seperti baju, kasut, tudung, kosmetik dan makanan sekitar RM100 sahaja.
Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Syafik Tino bersama peniaga Bazar Karat menceritakan pengalaman mereka.
Bazar Karat di tengah bandar raya Johor Bahru tetap menjadi lubuk rezeki buat peniaga terutama golongan anak muda meskipun pernah ditutup sebanyak dua kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 akibat Covid-19.
Penutupan selama lima bulan sejak Mac 2020 dan Mei tahun lalu itu nyata merencatkan ekonomi peniaga malah ada yang terpaksa berputus asa kerana hilang mata pencarian.
Bagi salah seorang peniaga, Zaidi Subahat, 40, berkata, walaupun kini Bazar Karat sudah kembali dibuka seperti biasa, keadaan yang berlaku adalah sangat berbeza dengan jumlah pengunjung juga tidak seperti dulu.
Dia yang sudah berniaga di lokasi itu sejak 12 tahun lalu turut mengakui keadaan yang dialami peniaga kini adalah begitu sukar dengan kehilangan pendapatan sehingga 70 peratus sejak PKP dan fasa pemulihan negara diadakan.
"Kita tutup hampir setahun lebih di sini, memang keadaan yang berlaku sekarang adalah berbeza ketika sebelum Covid-19 ini. Pengunjung kita tengok sudah tidak seperti dulu, walaupun ramai tetapi kita lihat ia tidak semeriah dahulu.
"Sejujurnya ketika kembali berniaga ini, saya dan rakan-rakan kehilangan hampir 70 peratus pendapatan harian. Kami juga masih bergelut untuk mendapatkan keuntungan seperti sebelum ini.
"Kami sekarang hanya berpegang kepada semangat untuk terus berusaha, kita tidak mahu bantuan datang bergolek kerana rezeki hanya melimpah kepada orang yang rajin berusaha,” katanya.
Zaidi yang mengusahakan perniagaan pakaian juga memberitahu, penutupan sempadan Johor-Singapura sejak Mac 2020 juga dilihat menjadi punca utama peniaga Bazar Karat kehilangan keuntungan yang besar.
"Perkara itu (penutupan sempadan) memang merupakan faktor utama kita di sini berniaga agak perlahan. Kalau dulu, Bazar Karat ini hari-hari penuh bukan kerana pengunjung tempatan sahaja. Mereka daripada Singapura amat membantu.
"Mereka gemar berbelanja di sini kerana semuanya ada di satu tempat, makanan, barangan fesyen, gajet dan sebagainya, itu sebab ia meriah dan sentiasa dipenuhi pengunjung,” katanya.
Katanya lagi, kebanyakan peniaga di Bazar Karat mula mengalami masalah kewangan juga adalah disebabkan kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai sumber lain selain daripada berniaga di kawasan berkenaan.
"Macam saya sendiri ketika Bazar Karat ditutup memang kita tidak boleh buat apa. Saya sendiri berniaga secara dalam talian, tetapi hasilnya bukan seperti kita berniaga secara terus.
"Bila dah buka kembali sekarang memang saya bersyukur sangat. Apa yang jadi walaupun kurang berbanding dahulu saya tetap lega kerana masih dapat berniaga seperti sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohd Aminol Yaqin Markawi, 36, berkata, kekurangan pendapatan diterima peniaga Bazar Karat kini adalah pengunjung sudah berhati-hati dalam berbelanja.
"Sekarang ini kalau tengok, masih ada pengunjung bukan senyap betul. Cuma mereka (pengunjung) hanya datang sahaja. Kita faham sekarang semua sedang susah, jadi mereka berhati-hati ketika berbelanja.
"Kalau kita nak tengok, mereka susah nak keluarkan duit untuk barang-barang tidak perlu, jadi macam saya peniaga mainan memang sukar, kita tidak boleh jual apa-apa.
"Kuasa beli rakyat yang semakin kurang ini memberi kesan besar kepada kami peniaga jalanan, jika tidak pelanggan atau pembeli macam mana kami nak pusing semula modal,” katanya.