MENJELANG 1 April, pelbagai khabar gembira yang menanti rakyat negara ini termasuklah banyak kelonggaran yang diberikan selepas lebih dua tahun negara bergelut dengan pandemik Covid-19.
Namun yang pastinya, antara yang paling ditunggu-tunggu adalah permohonan pengeluaran khas RM10,000 wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan mula dibuka pada tarikh istimewa ini.
Pastinya, ia paling dinanti-nantikan selepas ramai kalangan kita yang ‘berjuang’ berterusan dalam menuntut pengeluaran khas ini, terutamanya bagi yang masih terkesan dan bergelut dengan masalah ekonomi sejak wabak ini melanda.
KWSP dalam laman Facebooknya pada Selasa mengumumkan akan membuat bayaran bagi pengeluaran khas ini secara sekali pembayaran (single payment) kepada pencarum yang layak pada 20 April ini.
Bagaimanapun, sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, ada beberapa syarat kelayakan dalam pengeluaran khas ini.
KWSP menetapkan syarat pengeluaran adalah bagi pencarum warganegara dan bukan warganegara serta pemastautin tetap berumur 55 tahun ke bawah dengan jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM150 dalam akaun berkenaan.
Ia termasuklah amaun pengeluaran minimum RM50 dan maksimum RM10,000 tertakluk kepada baki simpanan Akaun 2.
Bagaimanapun, jika tidak mencukupi, akaun satu akan digunakan dengan meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam akaun berkenaan dan bayaran pengeluaran khas tersebut diberi keutamaan berbanding pengeluaran lain.
Dalam perkembangan lain, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada Selasa melancarkan aplikasi mudah alih myPTPTN yang akan memanfaatkan lebih 3.63 juta peminjam dan 5.28 juta pendeposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, aplikasi ini akan membuka ruang dan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa sempadan dengan lebih mudah, cepat dan selamat.
Kemudahan yang disediakan dalam aplikasi itu antara lain merangkumi semakan penyata pinjaman, bayaran balik pinjaman, pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN, permohonan potongan gaji serta debit terus bagi bayaran balik pinjaman dan Simpan SSPN.
Jadi, tidak salah rasanya wang KWSP yang akan diperoleh nanti turut dimanfaatkan dengan membayar hutang-hutang yang tertunggak, termasuklah PTPTN yang mana ia boleh dibuat di hujung jari dengan kemudahan teknologi yang ada.