Pelajar berkahwin antara faktor keciciran pendidikan

Iklan
Ahmad Saidi ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Rabu.

Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perak juga sentiasa berusaha untuk mengurangkan kadar keciciran dengan mengadakan pelbagai program intervensi

IPOH - Pelajar berkahwin antara faktor yang dikenal pasti Kementerian Pendidikan (KPM) menyumbang kepada keciciran pendidikan dalam tempoh 2018 hingga 2021.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, faktor kemiskinan, masalah keluarga, masalah kesihatan pelajar dan ibu bapa pelajar selain pelajar tidak berminat terhadap sistem pendidikan serta masalah disiplin turut menjadi penyumbang kepada keciciran pendidikan murid.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di Perak, kadar purata keciciran yang direkodkan pada tahun 2018 sehingga tahun 2021 bagi sekolah rendah di negeri Perak berada antara 0.03 peratus hingga 0.06 peratus.

"Bagi sekolah menengah pula, peratus keciciran murid adalah sekitar 0.07 peratus sehingga 0.09 peratus daripada jumlah keseluruhan murid tahun tersebut," katanya ketika menjawab soalan lisan Ng Shy Ching (PKR-Teja) pada Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, peratusan yang dinyatakan merangkumi murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan melalui rekod daripada aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).

Ahmad Saidi berkata, bagaimanapun tidak semua murid tercicir daripada mengikuti persekolahan kerana sebahagian besar mereka yang keluar daripada sistem persekolahan KPM meneruskan pelajaran.

Iklan

Jelasnya, sebahagian mereka memilih untuk meneruskan pengajian di peringkat sekolah pondok, sekolah antarabangsa dan juga belajar di sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM seperti madrasah.

"Bagi menangani isu keciciran dalam kalangan murid Orang Asli, beberapa inisiatif dan usaha telah dijalankan oleh KPM antaranya menyediakan pelbagai bantuan seperti pemberian buku teks secara percuma, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembinaan asrama sekolah supaya semua kanak-kanak dapat bersekolah.

"Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perak juga sentiasa berusaha untuk mengurangkan kadar keciciran dengan mengadakan pelbagai program intervensi seperti Pelaksanaan Amalan Guru Penyayang, Pemantauan Kaunseling Berfokus, Program Pembangunan Sahsiah Murid, Program Sekolah Berasrama, Program Kunjungan Ke Rumah Pelajar, Ziarah Cakna serta program-program dibawah Tuisyen Cikgu Saarani (TCS)," katanya.