HULU TERENGGANU –"Saya sebak dan terharu ibu sanggup datang melihat saya terima skrol Diploma walau terpaksa berkerusi roda,” kata graduan Politeknik Hulu Terengganu (PHT), Muhammad Haikal Rizqullah Mohamed, 23.
Graduan Diploma Pengurusan Pelancongan itu berkata, ibunya, Jawahir Muhammad, 56, tetap hadir ke Majlis Konvokesyen PHT semata-mata mahu meraikannya menamatkan pengajian dan bergambar bersama di hari bersejarah tersebut.
Menurut Muhammad Haikal Rizqullah, ibunya tidak mampu berjalan dengan baik kerana masalah sakit lutut kronik sejak lima tahun lalu dan kehidupan hariannya lebih banyak bergantung kepada kerusi roda.
"Walau terpaksa menolak kerusi roda ibu sepanjang majlis, saya tetap gembira dan benar-benar rasa dihargai. Saya mengambil peluang ini dengan merakam kenangan bergambar bersama ibu,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Anak bongsu daripada tiga beradik yang tinggal di Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus itu berkata, bapanya tidak dapat datang meraikan hari bersejarah tersebut kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang hanya membenarkan kehadiran dua ahli keluarga.
"Jadi ibu datang berdua dengan kakak. Ibu memang berharap melihat saya menamatkan pengajian dan alhamdulillah syukur saya berjaya menunaikan impian ibu,” katanya yang kini menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Majlis Konvokesyen PHT kali ke-8 diadakan di kampus baharu PHT di Kuala Jeneris, Jalan Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini secara hibrid selama dua hari bermula Isnin melibatkan 248 graduan Diploma Perdagangan dan Diploma Pengurusan Pelancongan.
Sementara itu, Pengarah PHT, Azahan Daud berkata, pembudayaan program secara hibrid dapat menjimatkan pelbagai sumber sama ada dari sudut kewangan, tenaga kerja, masa dan kelestarian alam sekitar.
"Dengan tema konvokesyen ‘Graduan TVET Pemacu Masa Depan’, PHT akan terus mengorak langkah secara aktif dan proaktif menjadi sebuah penyedia pendidikan TVET berkualiti sekali gus melahirkan graduan berkualiti dan seimbang serta bercirikan keusahawanan yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.