KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed kerana menghina mahkamah.
Hakim Yasmin Abdul Razak mengeluarkan perintah itu pada 14 Februari lalu selepas Norjuma, 42, gagal hadir ke mahkamah sejak permulaan kes.
Walaupun waran tangkap telah dikeluarkan, peguam, Muhammad Hassanuddin Roslan yang mewakili pihak Fame Up Entertainment berkata, usaha untuk menyerahkan waran tangkap kali pertama pada Selasa didapati gagal.
"Pihak kami bersama bailiff mahkamah (orang yang dilantik mahkamah untuk menyampaikan writ/saman) cuba untuk mencari Norjuma selaku defendan di dua rumah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, namun gagal.
"Jadi kami akan memohon tarikh baru untuk permohonan waran tangkap ke atas usahawan tersebut sekali lagi," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Selain itu beliau berkata, akan mendapatkan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi urusan seterusnya.
Pada 2019 dan 2020, Fame Up Entertainment selaku plaintif telah memfaikan dua saman fitnah terhadap Norjuma berhubung penyebaran fitnah pada syarikat berkenaan sekitar 2018 dan 2020.
Berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan pada 14 Februari lalu, ia dikeluarkan terhadap Norjuma bagi tujuan hadir ke pendengaran permohonan komital.