KERAJAAN Perak meluluskan peruntukan RM391,200 bagi membantu Perak FC membiayai pasukan Piala Presiden.
Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, peruntukan itu disediakan bagi memastikan pemain bagi skuad Piala Presiden boleh terus bermain.
Menurutnya, pemain-pemain tersebut juga akan turut mengisi slot acara Bola Sepak pada Sukan Malaysia (Sukma) dalam usaha mendapatkan emas bagi temasya sukan tersebut.
"Saya telah pun berjumpa dengan pengurusan Perak FC. Kita berbincang untuk menawarkan bentuk bantuan yang boleh diberi, tetapi penawaran saya bukan berskala besar. Jadi baru-baru ini kita buat penawaran untuk bantu pasukan Piala Presiden.
"Kita akan uruskan kontrak mereka ini sehingga Oktober walaupun kontrak mereka dengan Perak FC sehingga September," katanya ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Dewan Negeri pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, Khairul Shahril berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Perak untuk menjadikan sukan sebagai satu peluang kerjaya.
Menurutnya, beberapa Nota Persefahaman (NoU) dengan institusi pengajian tinggi (IPT) telah ditandatangani melibatkan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Beliau berkata, atlet-atlet berpeluang menyambung pengajian mereka di IPT-IPT berkenaan.
"Kita tak nak lihat atlet hebat kita akhirnya terbiar kehidupannya, hidup melarat. Kita sedang usahakan melalui semua pihak pengurusan, jurulatih, atlet sendiri untuk kita jadikan sukan ini sebagai satu kerjaya.
"Dalam tempoh terdekat kita akan buat NoU juga dengan Universiti Sultan Idris Shah (UPSI)," katanya.
Sementara itu, beliau turut menyambut baik usaha dilakukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan mengambil atlet mengisi jawatan di dalam organisasi mereka.