Kenderaan rasmi Mufti Perlis terbakar

Iklan
Keadaan kereta rasmi Mohd Asri yang terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat di rumahnya, pagi tadi.

KANGAR - Kereta rasmi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin rosak teruk dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian awal pagi ini di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini.

Ketua Polis Perlis Datuk Mushar Noor Mohd berkata dalam kejadian kira-kira 5.45 pagi itu, kereta jenis Honda Accord berwarna hitam tersebut mengalami kebakaran pada bahagian enjin serta tayar depan sebelah kiri selain cermin belakang dan depan dipecahkan.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati ia dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat kerana ada kesan pecahan cermin belakang dan bahagian botol mengandungi petrol yang dipercayai digunakan untuk tujuan membakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Mushar berkata kebakaran dipadamkan oleh pasukan bomba dan pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Iklan

Sementara itu, Mohd Asri berkata beliau menyedari kejadian ketika sedang bersiap menunaikan solat subuh apabila isterinya memberitahu ternampak api sedang marak di luar rumah mereka.

"Saya cuba untuk padamkan api di dalam kereta menggunakan alat pemadam api dan saya cuba nak buka bahagian depan enjin tetapi gagal,” katanya kepada media ketika ditemui di kediamannya.

Iklan

Mohd Asri berkata kejadian itu memusnahkan sejumlah buku miliknya yang ada di dalam kereta tersebut.

Beliau juga menolak kejadian berpunca daripada kegiatan khianat memandangkan dua lagi kenderaannya tidak terjejas.

"Saya juga tak syak siapa-siapa. Biasalah manusia ini. Rakyat Malaysia baik dan hidup dalam aman,” katanya lagi yang menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan. - Bernama