KUANTAN - Kerajaan Pahang tidak bercadang untuk memansuhkan caj perkhidmatan dalam talian bagi bayaran bil air melalui laman sesawang Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dan aplikasi PahangGo.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, caj perkhidmatan yang dikenakan kepada pembayar bil Paip melalui aplikasi PahangGo pada masa ini adalah sebanyak RM1 bagi setiap transaksi.
"Caj itu dikutip bagi memastikan modul Paip di dalam aplikasi PahangGo sentiasa diselenggara dengan baik. Aplikasi ini disokong oleh bantuan Khidmat Pelanggan PahangGo dan penambahbaikan terhadap modul Paip untuk masa datang,
"Kita yakin pembayaran melalui PahangGo merupakan pilihan yang memudahkan pengguna," katanya pada pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang pada Rabu.
Sebelum itu, Leong Yu Man (PH- Triang) bertanyakan perancangan kerajaan Pahang untuk memansuhkan caj perkhidmatan online bagi bayaran bil air melalui laman sesawang Paip dan PahangGo.
Beliau bagaimanapun menjelaskan pengguna masih boleh memilih untuk membayar melalui kaedah manual di kaunter seperti biasa tanpa kos tambahan RM1.
Tambahnya, pihak PahangGo sentiasa mengkaji keperluan dan kadar nilai ini dari semasa ke semasa serta ja bergantung kepada jumlah transaksi bagi modul pembayaran bil Paip.
"Sehingga kini purata pembayaran bil Paip melalui aplikasi PahangGo ialah kira-kira 5,000 transaksi sebulan.
"Di harapkan lebih ramai rakyat negeri Pahang dapat menggunakan aplikasi ini untuk membuat pembayaran bil dan cukai setempat," katanya.