Jawi anjur pelbagai program sepanjang Ramadan

Iklan
Program Ihya Ramadan peringkat Wilayah Persekutuan.

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menganjurkan pelbagai program menarik sepanjang Ramadan 1443H.

Jawi dalam satu kenyataan berkata, Program Ihya Ramadan peringkat Wilayah Persekutuan akan meliputi pengisian ibadah, kerohanian, pembudayaan ilmu dan kemasyarakatan di semua premis di bawah seliaan Jawi.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, Jawi turut mengatur aktiviti turun pandang bagi menyantuni golongan sasar yang memerlukan.

"Program ini dirangka bagi memberikan peluang kepada orang ramai untuk melipatgandakan amalan ibadah.

Iklan

"Orang ramai juga berpeluang mendalami ilmu berkaitan ibadah puasa serta menzahirkan keprihatinan dan perasaan empati terhadap kesusahan yang dialami oleh insan lain," kata kenyataan itu pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, antara program yang diaturkan adalah Seminar Tadabbur al-Quran, Program Iftar di Masjid, Kongsi Rezeki Agihan Bubur Lambuk dan Kurma, Berkat Sahur, Ziarah Kasih Ramadan Bersama Asnaf dan Gelandangan, Kenduri Arwah Sekampung dan Gotong Royong Membersihkan Tanah Perkuburan.

Iklan

"Orang ramai berpeluang merebut kesempatan untuk menyertai pelbagai program yang disajikan secara dalam talian mahupun secara fizikal selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Selain aktiviti solat tarawih bersama imam jemputan Syeikh Abdul Rahman el-Dasuki dari Mesir. Masjid Wilayah Persekutuan turut menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma sepanjang Ramadan," katanya.

Sementara itu, Program Forum Ambang Ramadan akan membuka tirai Ihya Ramadan berlangsung pada 1 April jam 8 malam di Dewan Solat Utama Masjid Wilayah Persekutuan yang menampilkan penceramah Datuk Dr Izhar Ariff, Ustaz Abdullah Khairi dan Ustaz Haslin Baharin.