SEMPORNA - Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki serta merampas pelbagai organ penyu yang sudah dipotong-potong di dalam ruangan sebuah perahu di Kampung Bangau-Bangau di sini pada Rabu.
Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, pihaknya ke lokasi kejadian pada 10 pagi dan menghampiri sebuah perahu yang berikat di tiang sebuah rumah sebelum menemukan suspek berumur 31 tahun dalam keadaan mencurigakan.
Iklan
Iklan
"Pemeriksaan ke dalam ruangan perahu menemukan 25 keping sisik marginal penyu (RM3,500), 13 keping plastron (kulit bahagian dada) penyu (RM13,000) dan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk melapah penyu antaranya pisau, kapak serta tukul," katanya dalam kenyataan di sini.
Mohamad berkata, suspek dan rampasan peralatan serta perahu dibawa ke Pangkalan PPM Semporna dan kes itu dirujuk kepada Jabatan Hidupan Liar.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar (EPHL) 1997. - Bernama