IPOH - Kerajaan Perak akan mengadakan perbincangan dan advokasi dengan beberapa agensi berkaitan bagi melihat cadangan untuk meningkatkan had umur perkahwinan di negeri ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, agensi tersebut melibatkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kehakiman, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
"Perkahwinan bawah umur bukan sahaja perlu ditangani melalui perubahan perundangan, malah melalui pendidikan, advokasi, kesihatan, pengukuhan institusi keluarga serta sokongan sosioekonomi masyarakat.
"Saya menyeru semua pihak yang berkepentingan sama ada pemimpin tertinggi hingga ke pemimpin akar umbi untuk lebih prihatin dan bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam menangani perkahwinan bawah umur di negeri ini demi menjamin masa hadapan kanak-kanak kita," katanya ketika sesi penggulungan usul menyembah ucapan tahniah serta menjunjung kasih atas penzahiran titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Dewan Negeri pada Rabu.
Dr Wan Norashikin berkata, berdasarkan Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004, umur minimum perkahwinan ditetapkan pada usia 18 tahun bagi lelaki manakala 16 tahun bagi wanita kecuali permohonan perkahwinan mendapat kebenaran daripada Hakim Syarie secara bertulis dalam hal dan keadaan tertentu.
Katanya, bagi perkahwinan orang bukan Islam pula tertakluk di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang menetapkan bagi mendaftarkan perkahwinan, permohonan perempuan mesti berusia genap 16 tahun dan perlu mendapat kelulusan di bawah Seksyen 21(2) oleh Menteri Besar Perak yang telah diturun kuasa kepada Pengarah JPN Negeri jika usia kurang dari 18 tahun.
Jelasnya, bagi permohonan lelaki pula, umur mesti genap 18 tahun namun jika belum mencapai umur 21 tahun mereka perlu mendapatkan persetujuan bertulis dari ibu atau bapa.
Menurut Dr Wan Norashikin, terdapat enam punca perkahwinan bawah umur yang dikenal pasti iaitu kemiskinan, kekurangan pendidikan kesihatan reproduktif seksual, kekurangan atau ketiadaan kemahiran keibubapaan, ketiadaan akses kepada pendidikan, stigma masyarakat dan undang-undang yang masih membenarkan perkahwinan bawah umur.
Pada Selasa, Nga Kor Ming (DAP-Aulong) menggesa kerajaan negeri menggubal dan meluluskan undang-undang mengharamkan perkahwinan bawah umur.
Ketika mencelah perbahasan Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari, Kor Ming menjelaskan bahawa kanak-kanak sepatutnya berada di sekolah dan bukan berada di atas pelamin.