SHAH ALAM - Sebanyak 22 keluarga di Kampung Sri Makmur, Batu Caves menuntut campur tangan kerajaan Selangor berhubung arahan pengosongan tanah tersebut sebelum dirobohkan oleh pihak pemaju.
Seramai 40 penduduk hadir di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini bagi menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi Ketua Setiausaha Sulitnya, Mohd Hidayat Mohd Sauffi pada Rabu.
Pengerusi Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM), Noora Mustafa berkata, tanah yang mereka diduduki kini akan dibangunkan sebuah projek kondominium mewah oleh pihak pemaju.
Menurutnya, para penduduk pernah ditawarkan pampasan bersyarat sebanyak RM35,000 di Pangsapuri Kos Rendah Selayang Mulia, Batu Caves pada tahun 2007, namun ramai penduduk gagal menuntut pampasan tersebut kerana tidak lulus proses pinjaman.
"Oleh itu, kami menuntut penempatan baharu dengan harga yang lebih relevan pada masa kini iaitu sebanyak RM150,000 ke bawah dan kos pindah keluar dari kawasan tersebut.
"Saya juga dimaklumkan bahawa tempat itu akan dibina kondominium mewah, jadi jika kita diberikan pampasan di situ, kita mohon diberikan sewa rumah sebanyak RM700 sebulan," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Rabu.
Selain itu, Noora memohon penduduk yang diarah berpindah perlu diberikan kebenaran menetap di Kampung Sri Makmur, Batu Caves sehingga penempatan baharu dibina sepenuhnya.
Ujarnya, pihaknya akan menerima maklum balas daripada kerajaan Selangor dalam masa 48 jam selepas memorandum tersebut dihantar.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan kes ini masih dalam perbicaraan di mahkamah sejak tahun 2019 yang dibawa oleh pihak pemaju.