Zarina Anjoulie didenda RM4,000 guna dadah

Iklan
Zarina Anjoulie ketika hadir Mahkamah Seremban baru-baru ini.

SEREMBAN - Mahkamah Majistret Seremban menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap selebriti sensasi, Zarina Anjoulie Lavocah Mohamad Fahizul atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan pada Jun tahun lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap artis berusia 34 tahun itu yang dikenali sebagai Anju selepas dia membuat pengakuan bersalah pada Selasa.

Iklan
Iklan

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman kepada pihak media.

Pendengaran kes Zarina Anjoulie sepatutnya diadakan pada Rabu, namun peguam yang mewakili selebriti itu, Ahmad Faiz Munawar memohon kepada mahkamah untuk diadakan lebih awal iaitu pada Selasa.

Iklan

Selain didenda RM4,000, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun dan jika gagal membayar denda berkenaan dia berdepan hukuman penjara empat bulan.

Bagaimanapun, Zarina Anjoulie telah membayar denda itu.

Iklan

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Zarina Anjoulie didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan menggunakan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine pada 29 Jun 2021.

Mengikut pertuduhan, dia menggunakan dadah jenis methamphetamine dan air kencingnya juga didapati positif dadah.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.