Turkish Aerospace sasar kerjasama OEM di Malaysia

Iklan
Kereta Perisai Kaya II 'Miner Resistant Personnel Carrier' dipamerkan pada pameran DSA dan NATSEC Asia 2022 di MITEC pada Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Turkish Aerospace Industries Inc (TAI) berminat untuk bekerjasama dan membangunkan industri aeroangkasa Malaysia dengan membawa kepakaran pengeluar peralatan tulen (OEM) kumpulan itu ke negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Profesor Temel Kotil berkata, firma dari Ankara itu merancang untuk membentuk syarikat usaha sama (JV) 50: 50 dengan rakan kongsi tempatan, yang kemudian akan berkembang sebagai syarikat OEM yang pertama di negara ini.

Iklan
Iklan

Malaysia yang merupakan pemain utama dalam rantaian elektrik dan elektronik global dengan jumlah bakat yang besar, sepatutnya mampu menghasilkan kapal terbang sendiri, helikopter atau pesawat udara tanpa pemandu (UAV), katanya.

"Malaysia hanya menumpukan kepada penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), struktur aero serta pengeluaran komponen untuk firma-firma pembuat pesawat. Anda sepatutnya pergi lebih jauh.

Iklan

"Kerajaan negara ini amat berminat untuk membangunkan industri sendiri (OEM) termasuk mempunyai produk tempatan yang direka, dibina dan dijual dari Malaysia.

"Kami mahu menjadi sebahagian daripadanya, membantu mengurangkan masa bagi mencapai visi tersebut. Turki telah menghabiskan masa selama 20 tahun, jadi kami tidak mahu Malaysia berhempas pulas selama 20 tahun lagi (untuk melakukan perkara yang sama)," katanya kepada Bernama semasa pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 di sini pada Rabu.

Iklan

DSA yang berlangsung setiap dua tahun itu dianjurkan serentak dengan Persidangan Keselamatan Negara (NATSEC) yang diadakan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Temel berkata TAI, yang baru-baru ini telah membuka pejabat Asia Pasifik di Cyberjaya, merancang untuk mempunyai kehadiran OEM di Malaysia pada tahun depan dan perbincangan dengan beberapa syarikat tempatan telah berlaku.

Kerjasama OEM itu akan merangkumi usaha sama dalam pengeluaran helikopter T625 Gokbey di Malaysia, kilang pembuatan pertamanya di luar Turki yang diharap akan berkembang baik di pasaran Asia.

"Kami mahu menjadikan Malaysia sebuah hab... Saya mendapati bahawa Malaysia merupakan lokasi yang amat sesuai untuk mereka bentuk dan membina pesawat. Negara ini mampu," katanya.

Helikopter Gokbey pelbagai fungsi ini merupakan model generasi baharu dua enjin seberat enam tan yang dibangunkan dan dikonfigurasikan untuk memenuhi keperluan operasi pelbagai sasaran seperti kargo, pengangkutan VIP, perkhidmatan perubatan kecemasan, luar pesisir termasuk operasi mencari dan menyelamat kerana memiliki ruang kabin yang luas.

Aerodinamik Gokbey direka bagi menyediakan getaran yang agak rendah, kedap bunyi, penggunaan bahan api serta jarak penerbangan yang lebih baik selain fleksibiliti misi yang agak tinggi dalam kelasnya.

TAI adalah firma pertahanan dan aeroangkasa terbesar di Turki, yang memberi tumpuan kepada pembangunan produk tempatan. Syarikat tersebut bercita-cita untuk menjadi salah satu daripada 10 firma pertahanan terunggul dunia menjelang 2028 dengan pendapatan AS$10 bilion. - Bernama