DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) dan Iveco Defence Vehicles (IDV) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menubuhkan pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tempatan yang sah bagi trak keluaran syarikat Itali tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deftech, Fazley Ariffin berkata, kerjasama bersama IDV yang juga sebuah syarikat terkenal terbukti secara global untuk menubuhkan pusat MRO tempatan selain dapat meningkatkan kebolehupayaan menyelenggara setiap kenderaan.
Katanya, pusat MRO tempatan mampu memberikan perkhidmatan selepas jualan yang lebih pantas dan cekap kepada pengguna dalam negara.
"Deftech komited untuk membekalkan pasukan pertahanan Malaysia dengan jentera yang kukuh dan boleh dipercayai.
"Trak 4x4 GS Cargo ini dianggap sebagai kuda kerja Angkatan Tentera Malaysia ATM dan MRO akan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik secara konsisten kepada ATM,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Upacara menanda tangan MoU tersebut disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec Asia) Asia di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini.
Deftech diwakili Ketua Pegawai Operasi, Lefternal Jeneral Datuk Hanafiah Jaafar manakala IDV diwakili oleh Ketua Jualan Eksport Iveco Defence Vehicles, Francescomaria Tuccillo.
Sementara itu, Tuccillo berkata, penubuhan pusat MRO berkenaan membuktikan kepentingan sektor pasaran pertahanan Malaysia kepada perniagaan Asia Pasifik Iveco Defence Vehicles.
"Pasaran pertahanan Malaysia cukup strategik dan penting bagi seluruh kawasan Asia-Pasifik. Disebabkan itu, IDV berbesar hati untuk bekerjasama dengan Deftech dan meletakkan landasan untuk pelbagai usaha sama pada pelbagai kelas kenderaan termasuk kenderaan berperisai untuk faedah dan pertumbuhan ATM.
"Menubuhkan bengkel MRO di Malaysia ini adalah satu langkah penting ke arah ini. Dengan adanya pusat MRO di Malaysia, ia membolehkan IDV menjaga secara terus kenderaan yang sedang dalam perkhidmatan di Malaysia dan kenderaan serta platform tambahan yang berpotensi akan diperoleh oleh ATM pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir menyaksikan acara itu adalah Duta Besar Itali ke Malaysia, Massimo Rustico; Timbalan Setiausaha Agung Itali bagi pertahanan, Naib Laksamana, Dario Giacomin, dan Kapten Cesare Petruzziello Atase.