UMNO jangan 'termakan' istilah dua kolam di laman sosial: Pas

Iklan
Gambar kecil: Mohamed Fadzli

KOTA BHARU - Pas Kelantan mengingatkan UMNO supaya tidak 'termakan' dengan istilah isu parti itu bermain dua kolam sebagaimana yang tersebar di laman sosial Facebook.

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, penggunaan istilah demikian dibimbangi boleh meretakkan hubungan baik antara UMNO dengan parti itu.

Iklan
Iklan

"Kita tidak tahu datang dari mana istilah ini dan hanya berlegar di laman-laman sosial. Jadi sebagai pemimpin janganlah kita gunakan istilah sebegitu. Saya hendak betulkan tanggapan yang mengatakan Pas mengkhianati UMNO dengan main dua kolam.

"Apa nak label Pas tak apa, lagipun dua kolam ini siapa yang label. Sebagaimana Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kata, dua, tiga kolam sebab tujuan kita nak satukan umat Islam," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu parti itu mengkhianati UMNO dengan bermain dua kolam di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, apabila ada dua pihak bergaduh, satu pihak perlu mengambil sikap memperbaikkan kedua-duanya dan itulah yang sedang digerakkan oleh Pas ketika ini selari dengan kehendak Islam.

Beliau berkata, Pas menyahut seruan itu apabila UMNO masih belum dapat menerima Bersatu, namun dituduh bermain dua kolam pula.

Iklan

Mohamed Fadzli berkata, tuduhan itu sama sekali tidak menyekat semangat Pas untuk mewujudkan penyatuan antara umat Islam di negara ini.

"Ada yang kata Pas tidak boleh terima Amanah, saya nafikan perkara itu. Hal ini kerana pimpinan kita dari dulu lagi terbuka untuk kerjasama dengan Amanah bersama Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

"Pas dengan Amanah bukan kes pertama, kita sudah ada kes dengan Berjasa, Hamim dan semua itu adalah pacahan Pas. Kita terima Berjasa dan Hamim menerusi kerjasama dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Gagasan Sejahtera dengan Berjasa. Kedua-dua parti itu terima Islam sebagai cara hidup perjuangan Pas," katanya.

Menurutnya, untuk bersama PN, Amanah perlu memutuskan hubungan dengan DAP yang secara terang-terangan menolak Islam.