Lima tekad Nafas jadi fokus menuju 2030

Iklan
Zamri menyampaikan ucapan pada majlis Pelancaran Jubli Emas 50 Tahun Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang diadakan di Ibu Pejabat Nafas. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melancarkan lima tekad sebagai fokus menuju 2030 bagi memastikan agensi itu kekal relevan sebagai pelengkap rantaian Pertubuhan Peladang.

Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, lima tekad tersebut merangkumi pembangunan industri padi dan beras; pemasaran input baja dan kimia; pemain utama industri ayam; sumber kekayaan baharu dan kemakmuran keluarga peladang.

Iklan
Iklan

"Bagi meneruskan momentum kejayaan sejak lima dekad lalu, Nafas di bawah kepimpinan barisan Jemaah Pengarah serta komitmen kumpulan pengurusan mengorak langkah memastikan masa depan yang cemerlang kepada pergerakan Pertubuhan Peladang seluruh negara menerusi penetapan lima tekad sebagai fokus menuju 2030.

"Antara yang menjadi tumpuan adalah pembangunan industri padi dan beras yang mana Nafas kini sedang ke arah pembangunan, pengeluaran serta pengkomersialan benih padi hibrid yang dijangka bermula musim satu 2023 (1/2023).

Iklan

"Objektif perkembangan program ini adalah bagi memberi alternatif kepada pesawah dengan tawaran benih padi hibrid berbanding benih padi inbred yang dijangka akan meningkatkan hasil tuaian sehingga 50 peratus bagi setiap hektar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jubli Emas 50 tahun Nafas pada Rabu.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Iklan
Dr Ronald menyempurnakan gimik pelancaran Jubli Emas 50 Tahun Pertubuhan Peladang Kebangsaan di Ibu Pejabat Nafas. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Mengulas lanjut Zamri berkata, penggunaan padi hibrid bakal memasuki pasaran sehingga 30 peratus dari penggunaan benih padi sah negara dengan menyasarkan pesawah seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Selain itu kita telah menjadi antara syarikat peneraju Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang kini mewujudkan rantaiannya menerusi SMART SBB Peladang.

"Pelaksanaan program tersebut secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan pesawah serta hasil padi di samping memperkukuhkan kerjasama Pertubuhan Peladang dengan agensi terlibat,” ujarnya.

Dalam pada itu Zamri turut memaklumkan, Nafas bakal memperluaskan perniagaan ke pasaran antarabangsa susulan penyertaan di Expo 2020 Dubai, Februari lalu ketika menjadi delegasi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

"Hasil perbincangan bersama beberapa syarikat yang berpangkalan di Dubai, kita ke arah perkembangan positif dan ini merupakan inisiatif pertubuhan dalam memacu dan meningkatkan peluang pelaburan serta kerjasama dalam pertanian lestari,” katanya.