PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan tempoh sekurang-kurangnya sebulan sebelum membuat keputusan sama ada amalan daftar masuk (check-in) ke mana-mana premis menerusi aplikasi MySejahtera, dihentikan.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya akan meneliti corak mobiliti penduduk dan jangkitan Covid-19 berikutan pembukaan sempadan negara, aktiviti berbuka puasa serta kelonggaran dibenarkan mulai Jumaat ini.
"Sekiranya tiada perubahan ketara dalam tempoh beberapa minggu, kita boleh hentikannya," katanya kepada pemberita selepas majlis Penutup Program Pengurusan Berat Badan Bersepadu Kebangsaan, di kementeriannya pada Rabu.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai saranan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bahawa amalan daftar masuk premis boleh dihentikan tatkala negara telah memasuki fasa peralihan endemik.
Pada 11 Februari lalu, prosedur operasi standard (SOP) yang memerlukan orang ramai imbas suhu badan dan buku rekod 'check-in' sebelum memasuki mana-mana premis dimansuhkan namun daftar masuk menerusi MySejahtera masih diteruskan.
Sementara itu, pada perkembangan lain, KKM dijangka akan memuktamadkan rundingan pemilikan aplikasi MySejahtera dalam tempoh kurang sebulan.
Katanya, KKM merupakan pemilik data yang terkandung di dalam aplikasi tersebut.
"Dari segi platform software, ia dikendalikan oleh syarikat dan data disimpan di dalam 'server' yang selamat milik kerajaan," katanya.
Sebelum ini, Khairy berkata, kerajaan akan melantik vendor baharu sekiranya rundingan dengan MySJ Sdn Bhd yang mengendalikan MySejahtera gagal memberikan perjanjian yang adil kepada kerajaan.
Khairy dijangka akan membentangkan isu pemilikan aplikasi itu di Dewan Rakyat pada Khamis.