Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021

Iklan
Dewan Negara - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara pada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021, yang antara lain melibatkan pertambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari selaras Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim setelah dibahas 17 senator.

Iklan
Iklan

Awang sebelum itu ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata, rasional meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari itu adalah bagi memastikan pekerja wanita mendapat rehat yang cukup serta mengeratkan hubungan ibu dan anak.

"Selain itu, ia bagi memelihara keselamatan dan kesihatan pekerja wanita serta tumbesaran anak dan menggalakkan penyertaan golongan wanita dalam pasaran buruh.

Iklan

"Peningkatan ini juga mengambil kira faktor bahawa kebanyakan negara jiran telah memberikan cuti 90 hari atau lebih sebagai contoh Indonesia yang memberikan 90 hari (cuti bersalin), Korea juga memberi 90 hari (cuti bersalin) dan rakan perdagangan kita, Jepun memberikan 98 hari cuti bersalin,” katanya.

Awang berkata, faedah cuti bersalin itu dapat memberi perlindungan kepada pekerja wanita sekali gus mengekalkan mereka dalam sektor pekerjaan serta menarik minat kaum wanita memasuki pasaran kerja.

Persidangan Dewan Negara pada Rabu turut meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 bagi meminda Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Iklan

Rang undang-undang itu, yang dibentangkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas sembilan senator.

Antara lain, rang undang-undang itu bertujuan memberi kuasa kepada pengawal, pegawai bekalan, pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada inspektor atau pegawai kastam untuk menahan tanpa waran orang yang dipercayai melakukan atau cuba melakukan kesalahan di bawah Akta 122.

Persidangan Dewan Negara bersambung pada Khamis. - Bernama