KUALA LUMPUR - Airod Techno Power Sdn Bhd (ATP) bakal membuka pusat selenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat aeroangkasa antarabangsa Honeywell International Inc.
ATP dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pusat MRO tersebut akan memberi fokus kepada selenggaraan sumber kuasa sokongan (APU) pada pesawat Hercules C130 yang dioperasikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Iklan
Iklan
"Menerusi MoU ini kami juga bercadang untuk menawarkan sokongan dan rangkaian pengedaran untuk produk lain dari Honeywell International Inc serta pembekalan alat ganti untuk platform pesawat C130 yang dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"Dengan kepakaran dan kecekapan oleh kedua-dua Honeywell dan ATP, kolaborasi ini akan menggunakan sepenuhnya reputasi ATP sebagai antara pusat MRO enjin dan komponen utama di rantau ini,”menurut kenyataan tersebut pada Rabu.
ATP berkata, MoU tersebut menandakan satu lagi batu loncatan buat mereka dalam usaha meningkatkan keupayaan syarikat dalam bidang selenggaraan.
Katanya, bermula dari bawah, ATP kini akan meningkatkan lagi pelaburan untuk membina infrastruktur, mencipta teknologi baharu, dan perolehan sumber dalam usaha untuk memperkukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran.
Tambahnya, kepakaran dan rekod baik ATP turut diiktiraf oleh syarikat Lockheed Martin apabila dianugerahkan dengan sijil Lockheed Martin Quick Engine Change (QEC) pada 2015.