Bazar Aidilfitri Lorong TAR mula operasi 9 April ini

Iklan
Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur 2022 akan memulakan operasi di Lorong Tuanku Abdul Rahman bermula 9 April hingga 2 Mei depan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur 2022 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan beroperasi di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) bermula 9 April hingga 2 Mei depan.

Unit Media DBKL dalam satu kenyataan berkata, aktiviti pasar malam di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada hari Sabtu akan dipindahkan operasinya ke Jalan TAR bagi memberi laluan kepada operasi bazar Aidilfitri tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, pasar malam berkenaan akan beroperasi bermula persimpangan Jalan Esfahan ke persimpangan Jalan Melayu sepanjang tempoh Bazar Aidilfitri Lorong TAR berlangsung.

"Sebahagian Jalan TAR akan ditutup untuk operasi pasar malam bermula jam 12 tengah hari hingga jam 12 malam pada setiap Sabtu pada 9 April, 16 April, 23 April dan 30 April depan.

Iklan

"Orang awam dinasihatkan merancang perjalanan jika ingin ke lokasi Jalan TAR pada tarikh-tarikh yang dinyatakan bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, bagi mengelakkan kesesakan trafik di lokasi tersebut, orang awam turut digalakkan menggunakan pengangkutan awam.

Iklan

Pada perkembangan berkaitan, DBKL memaklumkan telah meluluskan sebanyak 77 lokasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di Kuala Lumpur pada tahun ini.

"Warga kota boleh membuat perancangan untuk mengunjungi bazar serta dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan DBKL bagi memastikan keselamatan pengunjung dan peniaga.

"Pengunjung juga diminta untuk memastikan kenderaan mereka di parkir di tempat yang tidak menganggu lalu lintas serta mengelakkan pembaziran dan bersama-sama memeriahkan bazar di sekitar Kuala Lumpur," ujar kenyataan itu.