'Ada yang berjaga sampai pagi bimbang air naik'

Iklan
Rumah penduduk di Alor Wan Syed mula dinaiki air kesan limpahan air Sungai Pengkalan Berangan, hari ini.

MARANG - Hujan lebat yang melanda daerah ini menyebabkan 10 buah keluarga di Alor Wan Syed dan Tanah Lot kini mulai bimbang akibat terkesan dengan bencana banjir pada setiap tahun.

Rata-rata mereka mengakui sukar untuk tidur lena setiap kali hujan lebat, malah terdapat dalam kalangan mereka mula mengemas barangan masing-masing sebagai persediaan awal untuk berpindah.

Iklan
Iklan

Setiap tahun penduduk terbabit juga merupakan antara mangsa banjir paling awal berpindah ke pusat pemindahan sama ada di Balai Raya Tanah Lot atau di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubu.

Tinjauan Sinar Harian di Alor Wan Syed mendapati air mulai naik kesan limpahan air Sungai Pengkalan Berangan berikutan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan sejak malam semalam.

Iklan

Seorang penduduk, Muda Awang, 65, berkata, penduduk di kawasan rendah di kampung berkenaan berasa cukup bimbang setiap kali hujan melanda malah ada yang tidak lena tidur jika hujan berterusan.

"Ada yang berjaga hingga pagi, bimbang jika air sungai melimpahi dan rumah kami di kawasan rendah juga akan dinaiki air," katanya yang tinggal kira-kira 20 meter dari tebing Sungai Pengkalan Berangan.

Iklan

Seorang lagi penduduk, Kamariah Musa, 45, berharap banjir tahun ini tidak seperti tahun lalu namun sentiasa berwaspada dan akan segera berpindah sekiranya air sungai itu meningkat secara mendadak.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alor Wan Syed/Tanah Lot, Wan Ruzelan Wan Ibrahim, 49, berkata, pihaknya juga sudah mula membuat pemantauan.

Menurutnya, MPPK bersama agensi menyelamat lain membuat pemantauan di lokasi yang berisiko banjir khususnya di kawasan dihuni 10 buah keluarga di dua kampung berkenaan.

"Bagaimanapun, penduduk yang tinggal di kawasan berisiko itu perlu berwaspada sepanjang masa berikutan amaran cuaca buruk dan hujan lebat yang dikeluarkan akan berlaku minggu ini.

"Biasanya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir ini sudah sedia maklum dengan risiko bencana itu serta mereka sudah pastinya akan mengambil langkah membuat persediaan awal," katanya.