KEPONG - Seorang bapa merasa resah apabila sering diugut oleh ah long selepas anaknya gagal melunaskan bayaran bunga pinjaman yang dibuat sebelum ini.
Mangsa, Lim Yoke Sing, 59, berkata, sebelum ini, anak lelakinya telah menggunakan nombor telefonnya untuk membuat membuat pinjaman tersebut tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu mengenai perkara itu.
Yoke Sing berkata anaknya gagal untuk melunaskan bayaran pinjaman terbabit dan menyebabkan dia sering diganggu ah long yang ingin menuntut bayaran tersebut.
"Kali terakhir ah long itu menghubungi saya adalah minggu lalu dan mereka meminta saya membuat pembayaran segera.
"Sekiranya gagal, pihak terbabit akan menghantar orang ke rumah kami untuk menyimbah cat dan sebagainya," katanya.
Mengulas lanjut, Yoke Sing berkata, anaknya membuat pinjaman tersebut dipercayai untuk tujuan berjudi malah dia juga tidak mempunyai sebarang pekerjaan sejak beberapa bulan lalu.
Dia berkata, sehingga kini pihaknya sudah terputus hubungan dengan anak lelakinya itu dan berharap ah long terbabit tidak lagi mengganggunya bagi mengutip bayaran pinjaman terbabit selepas ini.
"Saya dah putuskan hubungan dengan dia kerana tak sanggup lagi diganggu ah long.
"Saya juga telah dah buat laporan di Balai Polis Jinjang pada Jumaat lalu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku selepas ini," katanya.