400,000 pengembara dijangka keluar masuk Johor-Singapura dalam sehari

Iklan
Kaunter imigresen di ICQS Bangunan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru yang lenggang pada Rabu dipercayai akan kembali sibuk sebaik sahaja pembukaan semula sempadan darat Malaysia-Singapura bermula Jumaat ini.

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor menjangkakan kira-kira 400,000 rakyat Malaysia dan pengembara luar akan merentas negara ini dan Singapura dalam sehari sebaik pembukaan semula sempadan darat Malaysia-Singapura bermula Jumaat ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jumlah itu dianggarkan menerusi kiraan kemasukan rakyat Malaysia dan pengembara Singapura yang keluar masuk negara ketika prapandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Ketika prapandemik, kita mempunyai rekod kira-kira 400,000 pengembara iaitu jumlah individu yang keluar dan masuk ke negara ini dalam sehari.

"Jadi kita jangkakan kiraan ini akan mula memenuhi sempadan dan pintu masuk negara selama tujuh hari bermula 1 April ini. Sebab itu saya merayu kepada mereka yang akan masuk ke Johor, perlu bersabar,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bangunan Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang di sini, pada Rabu.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Iklan

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, kerajaan telah bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari melibatkan semua jenis kenderaan di sempadan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula laluan darat kedua-dua negara.

Onn Hafiz (depan tengah) ketika sidang media selepas melawat ICQS Bangunan Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Johor Bahru pada Rabu

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecualian itu membabitkan plaza tol ICQS Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Bangunan Sultan Abu Bakar (Lebuh Raya Linkedua) di Johor.

Onn Hafiz berkata, pihaknya juga menjangkakan kesesakan akan berlaku dalam tempoh awal pembukaan semula sempadan yang mana melibatkan dua pintu masuk utama berkenaan.

Katanya, bagaimanapun perkara itu akan diselia dengan sebaiknya selain pengumuman kerajaan iaitu memberi pengecualian kepada bayaran tol memasuki negara dapat mengurangkan tempoh perjalanan pengembara.

"Untuk kaunter imigresen kita akan buka sepenuhnya iaitu 100 peratus beroperasi bagi membantu mengurangkan tahap kesesakan.

"Selain itu, bagi melancarkan proses masuk di kaunter, imigresen dan kastam turut menambah jumlah petugas di kedua-dua lokasi berkenaan. Hampir 2,700 pegawai dan anggota akan bertugas 24 jam bermula 1 April,” katanya.

Untuk rekod, terdapat sebanyak 40 kaunter imigresen di Bangunan Sultan Ismail dan 24 kaunter di Bangunan Sultan Abu Bakar