Pandemik Covid-19 bukan halangan tingkat pengeluaran padi

Iklan
Md Zabidi (tengah) menerima Anugerah Premier Pertubuhan Peladang pada majlis Pelancaran Jubli Emas 50 Tahun Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang diadakan di Ibu Pejabat Nafas. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Pandemik Covid-19 menjadikan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lahar Bubu, Pulau Pinang lebih cekap dan dinamik dalam memastikan pengeluaran padi dapat diteruskan tanpa sebarang masalah.

Justeru, kecekapan tadbir urus dan kewangan serta perkhidmatan kepada ahli yang baik melayakkan pertubuhan itu memenangi Anugerah Premier Pertubuhan Peladang sempena Anugerah Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2021 (HPPNK 2021).

Iklan
Iklan

Anugerah itu disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sempena Pelancaran Jubli Emas Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), di Ibu Pejabat Nafas, di sini pada Rabu.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PPK Lahar Bubu, Datuk Md Zabidi Ariffin berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha berterusan pihak pengurusan dan petani dalam mencapai sasaran yang ditetapkan walaupun dalam tempoh pandemik.

Iklan

"Semasa pandemik, memang ada cabaran untuk bekerja kerana banyak industri berkaitan seperti kilang baja tutup. Tapi, kecekapan pengurusan mengambil langkah awal memastikan perkara penting seperti baja, racun dan yang berkaitan dengan penghasilan padi itu tidak terjejas.

"Alhamdulillah, kita mencapai sasaran pengeluaran lima ke enam metrik tan per ekar dan kita juga menggunakan inovasi dengan menggunakan pendaftaran dalam talian bagi urusan berkaitan. Walaupun agak sukar di peringkat awal, tapi 2,700 ahli kita sudah mula menyesuaikan diri,” katanya.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Menteri MAFI I, Datuk Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri MAFI II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Azulita Salim.

Sementara itu, Pengurus Besar Smaju Agro Venture, Selangor, Suhaidy Shuib, 37, dipilih sebagai pemenang Anugerah Agropreneur Muda.

Suhaidy Shuib - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Suhaidy ketika ditemui berkata, anugerah yang diperoleh itu adalah anugerah peribadi yang pertama diterima, sekali gus menyuntik semangatnya untuk terus memajukan sektor akuakultur.

"Saya sudah menternak udang kara sejak sembilan tahun lalu dan beroperasi di Hulu Langat, yang juga merupakan pusat pengumpulan ternakan udang kara satu Malaysia di bawah program perintis Lembaga Pertubuhan Peladang.

"Alhamdulillah, percaturan saya untuk meninggalkan kerjaya sebagai penjawat awam kepada petani moden sangat berbaloi. Buat masa ini, udang kara yang diternak hanya untuk pasaran domestik dan saya impikan untuk mula mengeksportnya ke pasaran antarabangsa dalam beberapa tahun lagi,” ujarnya.