1 juta telur ayam sebulan tak cukup tampung keperluan di Labuan

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123rf

LABUAN - Walaupun satu juta telur ayam sebulan telah dibekalkan ke Labuan oleh ladang ternakan ayam di Sabah, ia masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan semasa daripada pengguna dan pengusaha makanan di sini.

Kedai runcit dan pasar raya besar di seluruh pulau bebas cukai itu menghadapi kekurangan bekalan telur ayam sejak September lepas, ekoran pembekal di Sabah mengubah kuota bekalan daripada mingguan kepada bulanan.

Iklan
Iklan

Ia berikutan arahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah pada 20 Ogos lepas kepada pengusaha ladang ternakan ayam di negeri itu untuk mengurangkan jumlah eksport daripada 500,000 telur ayam seminggu kepada 500,000 sebulan ke Labuan, yang kemudian dinaikkan kepada satu juta sebulan bermula 21 November lepas.

Pengarah JPV Labuan Dr Marysia James Abie berkata, berikutan kekurangan bekalan tersebut, pihaknya telah membenarkan pengimport tempatan untuk membawa masuk telur ayam dari ladang di Melaka dan Johor ke pulau itu, keseluruhan berjumlah 1,325,240 telur ayam sejak Oktober lepas hingga pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, satu jawatankuasa bekalan makanan telah dibentuk membabitkan JPV Labuan, pemborong tempatan, pembekal dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Pihak kami akan mendapatkan senarai ladang ternakan di Semenanjung bagi membantu dari segi pengeluaran permit import dan eksport telur ayam, dan ini adalah antara cara untuk mengurangkan masalah kekurangan bekalan telur di pulau ini menjelang bulan puasa dan sambutan Hari Raya,” katanya.

Iklan

Marysia berkata, telur gred B dan C habis terjual dalam beberapa jam selepas bekalan sampai, tetapi gred premium seperti Omega dan Selenium boleh bertahan beberapa hari di rak kedai.

Menurutnya, permohonan kali kedua kepada JPV Sabah telah diserahkan pada 4 Februari lepas bagi menambah jumlah eksport daripada sejuta kepada dua juta telur ayam sebulan, namun ia tidak diluluskan.

Bernama sebelum ini melaporkan mengenai perubahan kuota eksport telur ayam ke Labuan daripada mingguan kepada bulanan, yang sebahagian besarnya disebabkan penurunan pengeluaran telur di Sabah dan isu-isu lain, termasuk penyakit berkaitan ayam. - Bernama