SHAH ALAM - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa kerajaan lebih serius dalam menangani isu kebajikan mahasiswa terutama melibatkan akses pendidikan dalam talian.
Naib Presiden Kampus PKPIM, Muhammad Anwar Hadi Romli berkata, Kementerian Kewangan juga perlu memberikan penjelasan mengenai status agihan 600,000 tablet di bawah inisiatif peranti Siswa Keluarga Malaysia yang bernilai RM450 juta.
"Agihan tablet berkenaan perlu dilaksanakan dengan lebih cepat bagi memastikan para mahasiswa dapat menjalani proses pendidikan secara lebih efisien.
"Dalam perkembangan berkaitan juga, PKPIM menggesa pihak terlibat untuk menyelesaikan polemik yang membabitkan isu pensyarah sebuah universiti awam secara lebih matang.
"Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi awam ditubuhkan bagi membela kebajikan orang miskin, individu terlibat wajar lebih berhikmah dan bertimbang rasa dalam tutur kata," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Rabu, pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengambil tindakan ke atas seorang pensyarah wanita selepas tularnya satu video sejak Selasa malam.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, insitusi pengajian itu sedang meneliti kes berkenaan yang mana pensyarah tersebut memarahi pelajarnya gara-gara tidak memiliki komputer.
"Dia adalah pensyarah kontrak di UiTM cawangan Seri Iskandar, Perak dan mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU).
"Saya difahamkan, insiden terbabit berlaku pada semester lalu bagaimanapun ia baru ditularkan semalam. Isu ini mesti ada perancangan kenapa ia baru dimuat naik semalam.
"Bagaimanapun, tindakan akan diambil dan untuk pelajar itu kita sudah mengesan dan memberikan peralatan yang diperlukan (komputer riba)," katanya sebagai berkata, memetik laporan sebuah media tempatan.