'Tiada duit janganlah bertanding'

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Rabu. Gambar kanan: Pekan

"TIADA duit janganlah bertanding.” Itu kata-kata tegas dilontarkan pemerhati bola sepak tanah air, Dr Pekan Ramli susulan masalah tunggakan gaji yang semakin tenat dan nazak melanda Perak FC ketika ini.

Menurut Pekan, pengurusan Perak FC perlu menerima hakikat jalan terbaik yang ada ketika ini adalah dengan membubarkan pasukan tersebut.

Iklan
Iklan

Keputusan amat berat biarpun terpaksa bermula semula dari bawah seperti yang pernah terjadi kepada pasukan Perlis sebelum ini.

Jelas beliau, sekiranya Perak FC masih berdegil untuk meneruskan pertandingan musim ini, tanpa dana yang belum jatuh dari langit, dikhuatiri ia bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pemain dan staf kejurulatihan malah ia juga akan mengganggu ekosistem bola sepak tanah air.

Iklan

"Daripada kudis dan luka melarat hingga menjadi barah, eloklah Perak FC menarik diri daripada bersaing dalam Liga Premier musim ini sekiranya pasukan itu masih belum menjumpai pelabur atau penyelamat pasukan dalam masa terdekat ini.

"Aje tumpor Yop, kalau biarkan perkara ini berlarutan. Takkan kita nak lihat para pemain dan staf kejurulatihan bermain tanpa gaji berbulan-bulan yang pada hemat saya ia sesuatu yang tidak adil kepada mereka. ‘Anak bini nak makan apa Yob’?.

Iklan

"Apa yang paling saya takut ketika ini, kalau mereka ini bermain tanpa gaji untuk tempoh yang lama ia mungkin akan menarik peluang bookie-bookie di luar sana mendekati pemain-pemain.

"Jadi apabila perkara tersebut berlaku, yang susahnya nanti bukan pasukan Perak FC sahaja, pasukan lain juga akan turut terpalit sama,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Untuk rekod, isu tunggakan gaji melanda Perak FC telah berlarutan sejak musim lalu hingga memberikan impak besar kepada kelab tersebut apabila ramai pemain pasukan itu mula meninggalkan pasukan berkenaan pada awal musim.

Lebih parah, gara-gara tunggakan gaji berkenaan, skuad The Bos Gaurus dilaporkan hanya mampu mendaftarkan seramai 20 pemain bagi mengharungi pusingan pertama saingan musim ini.

Dalam pada itu, Pekan berharap semua pihak baik dari penyokong mahupun kerajaan negeri atau syarikat swasta atau syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dapat membantu menyelesaikan kemelut melanda Perak FC ketika ini.

"Ia sangat menyedihkan kalau kita biarkan kelab yang mempunyai sejarah hampir satu abad ini terkubur begitu sahaja.

"Jadi saya harap pihak-pihak berkenaan dapat tolong mereka dengan apa yang termampu sekiranya tidak mahu lihat Perak FC bermain di Liga M3 pada masa akan datang,” katanya.