"ALHAMDULILLAH, cuti raya aku dah lulus. Tahun ini dapat cuti 10 hari!”
Merak Jalanan yang tengah kalut dengan persiapan bahan pengisian Ramadan, tiba-tiba rasa rengsa pula membaca ayat seorang kawan daripada grup WhatsApp alumni kolej.
Ya, Merak Jalanan faham Ramadan dan Syawal kali ini cukup dinanti-nantikan selepas dua tahun kita berpuasa dan berhari raya dalam suasana pandemik.
Serba-serbinya terbatas dan hari kemenangan diraikan dengan cukup sederhana kerana tertakluk dengan SOP yang perlu dipatuhi.
Oleh itu, Merak Jalanan tahu benar kalau tahun ini semuanya serba nak pulun selepas beraya ala kadar dua tahun berturut-turut sebelum ini.
Paling tidak tentulah berbaju raya sedondon bersama keluarga untuk sesi bergambar yang akan dijadikan kenangan sebagai pengubat Aidilfitri jarak jauh sebelum ini.
Cuma Merak Jalanan nak pesan, nak cuti tu tak salah, tapi tengok juga kawan-kawan dekat belakang, jangan sampai disebabkan cuti kita yang 10 hari tadi, rakan sekerja terpaksa berkorban dan melupakan hasrat meluangkan masa bersama keluarga di kampung.
Bawalah berbincang supaya pembahagian cuti dapat dibuat seadilnya kerana kita masing-masing ingin meraikan hari raya bersama insan tersayang.
Pendek kata, bukan awak seorang yang ada mak ayah di desa atau nak dengar lagu Balik Kampung sambil menempuh kesesakan sepanjang lebuh raya. Kita semua ada saudara-mara dan rakan taulan yang ingin diziarahi.
Paling Merak Jalanan nak ingatkan, tahulah bulan puasa, kita sama-sama lapar dan dahaga pada siang hari tapi janganlah disebabkan itu kita melupakan amanah untuk menjadi pekerja yang produktif.
Takkan sembang cuti raya sahaja yang kencang, bila masuk bab kerja jadi ‘baloq liat’ pula bak kata orang Kedah!