'Diupah sindiket RM50 hantar PATI'

Iklan
Seramai 13 PATI ditahan dalam Ops Nyah 1 di Jalan Banting - Sepang, Morib, Kuala Langat pada Rabu.

KUALA LANGAT - Cubaan pertama kali menjadi tali barut sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menerima upah RM50 setiap PATI yang dihantar menjerat diri apabila dicekup polis di Jalan Banting - Sepang, Morib di sini pada Rabu.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, Ops Nyah 1 sepasukan Batalion 4 PGA pada jam 6 pagi itu bertindak menahan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun dan dua warga asing berusia 42 dan 52 tahun.

Iklan
Iklan

Katanya, siasatan mendapati tiga suspek yang baru pertama kali terlibat dengan sindiket ini berperanan sebagai tekong darat atau transporter bagi menghantar PATI ke lokasi yang ditetapkan dengan upah RM50 bagi setiap PATI yang dibawa.

"Suspek juga dipercayai melakukan kerja (transporter) itu secara sambilan.

Iklan

"Operasi bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ini kemudian berjaya menemui 13 PATI berusia lingkungan 25 hingga 53 terdiri daripada enam lelaki dan tujuh wanita yang sedang menyorok di kawasan semak di lokasi terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Seramai 13 PATI ditahan dalam Ops Nyah 1 di Jalan Banting - Sepang, Morib, Kuala Langat pada Rabu.

Beliau berkata, kesemua PATI berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan didapati masuk ke negara ini melalui jalan laut.

Iklan

Menurutnya, soal siasat PATI terbabit membayar RM3,000 hingga RM4,500 setiap seorang kepada ejen sindiket untuk masuk ke Malaysia.

"PATI ini kemudian akan diambil oleh tekong darat terbabit dan dipercayai akan dihantar ke Desa Petaling, Kuala Lumpur," katanya.

Tambah Rizal, pihaknya telah merampas dua buah kenderaan dan tiga telefon bimbit untuk tindakan lanjut.

Tegasnya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963.

Justeru, masyarakat diseru agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.