DUBAI - Kestabilan politik di Malaysia ketika ini telah membolehkan kerajaan menumpukan kepada usaha memulihkan kembali ekonomi negara terutama dalam menarik pelaburan baharu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau menekankan bahawa kestabilan politik amat penting untuk ekonomi negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada 2022 berbanding dengan penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada 2020.
"Pelaburan langsung asing (FDI) juga semakin meningkat daripada RM14.6 bilion pada 2020 kepada lebih RM50 bilion pada 2021 manakala perdagangan turut melebihi sasaran.
"Pengangguran juga berjaya dikurangkan. Pada 2021, sasaran peluang pekerjaan adalah 500,000 tetapi kita dapat beri pekerjaan kepada rakyat sebanyak 580,000 dan tahun ini, kita menyasar untuk menyediakan 600,000 peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya semasa Majlis Makan Malam Keluarga Malaysia Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama Perdana Menteri di sini pada Rabu.
Justeru, beliau menambah, Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk mencari pelaburan baharu dengan adanya kestabilan politik ketika ini.
Ismail Sabri seterusnya berkata berkata, ketika lawatan beliau ke beberapa negara ASEAN, Malaysia telah mendapat komitmen untuk pelaburan baharu seperti dari Vietnam, Kemboja dan Thailand.
"Kita akan tingkatkan perdagangan sempadan dengan Thailand kerana perdagangan sempadan antara Malaysia-Thailand menyumbang hampir 50 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan yang ada,” kata Perdana Menteri.
Beliau juga berkata, sewaktu lawatan ke Qatar baru-baru, negara berjaya menarik pelaburan RM5.4 bilion, selain peluang Petronas untuk terlibat dalam projek gas.
Sementara di UAE pula, Perdana Menteri berkata banyak syarikat telah menandatangani memorandum kerjasama di Ekspo 2020 Dubai, yang berlangsung selama enam bulan bermula 1 Okt, 2021 hingga 31 Mac, 2022.
Malaysia meraih potensi nilai perdagangan, pelaburan dan petunjuk perniagaan bernilai lebih RM70 bilion secara keseluruhannya bagi 26 program mingguan pada Ekspo 2020 Dubai, mengatasi sasaran yang ditetapkan.
"Ini dapat meningkatkan ekonomi kita dan juga buka peluang pekerjaan. Inilah kelebihannya apabila politik stabil... pelabur pasti takkan (bawa) masuk (pelaburan) kalau politik tidak stabil. Amat penting untuk saya ambil kesempatan daripada kestabilan yang ada untuk bantu tingkatkan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, usaha menangani pandemik COVID-19 dijalankan secara berterusan dan kesan daripada kemampuan mengawal pandemik itu membolehkan sempadan negara dibuka pada 1 April.
"Dengan pembukaan sempadan ini ekonomi kita akan semakin baik pertumbuhannya dan membolehkan industri pelancongan memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara. Dengan pembukaan sempadan industri pelancongan akan berkembang dengan lebih cepat,” katanya.
Hadir sama adalah Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Josep Kurup. - Bernama