KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) mendedahkan Menteri Ekspatriat, Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad mengalu-alukan sebarang rundingan baharu mengenai memorandum persefahaman (MoU) antara negara itu dengan Malaysia dalam urusan pengambilan pekerja negara itu.
Saranan menteri Bangladesh itu disuarakan melalui pertubuhan itu susulan tiada perkembangan lanjut di antara dua negara mengenai perbincangan MoU pengambilan pekerja Bangladesh untuk dibawa ke Malaysia.
Setiausaha Agung PAPSMA, Dr N Sukumaran berkata, Imran menyebut bahawa beliau mengalu-alukan sebarang jenis rundingan baharu antara kedua-dua negara tanpa menjejaskan kedaulatan dan kuasa negara dalam proses membuat keputusan.
"Beliau juga mencadangkan agar Bangladesh dilayan seperti mana-mana 14 negara sumber lain dalam proses pengambilan pekerja ke Malaysia.
"Mengapa Bangladesh harus dilayan berbeza setelah mengemukakan syarat seperti 25 agensi Bangladesh dan 250 sub ejen yang mana kerajaan Bangladesh tidak diberi kuasa untuk memilih ejen pengambilan berdaftar jika diperlukan oleh Malaysia," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Beliau menjelaskan kenyataan itu dibuat Imran dalam satu perjumpaan di sebuah hotel di ibu negara antara PAPSMA, Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap) dan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) pada Ahad lalu.
Justeru, Sukumraran menegaskan majikan dalam kalangan industri masih ternanti-nanti keputusan kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini setelah permohonan mereka sudah dibuat awal.
Jelas beliau, sehingga kini, tiada tarikh tepat untuk kemasukan pertama pekerja asing yang dipercayai mengambil masa lebih lama untuk diambil bekerja berikutan perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) seperti perlu melalui tempoh kuarantin.
Tambahnya, ada dalam kalangan majikan mendakwa permohonan mereka ditolak kerana Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang mana majikan perlu menunjukkan perakuan yang diluluskan daripada Penempatan Pekerja Berpusat (CLQ) bagi tujuan penginapan pekerja asing yang diperlukan sebelum ketibaan.
"Masih terdapat kekurangan besar dalam kemudahan penginapan perumahan berbanding dengan jumlah kekurangan pekerja asing di negara ini.
"Jika masalah tenaga kerja terus membelenggu para majikan, banyak syarikat terpaksa ditutup sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka," ujar.
Mengulas lanjut, Sukumaran menegaskan sektor perladangan paling teruk terkesan sekiranya lebih lama lagi tempoh pekerja asing untuk dibawa masuk ke negara ini.
Beliau berkata, sektor perladangan terutamanya bakal terjejas teruk apabila buah kelapa sawit tidak dapat dituai tepat pada masanya dan banyak terpaksa dibazirkan begitu sahaja.
Menurutnya, dengan harga minyak sawit mentah melonjak begitu tinggi baru-baru ini, negara perlu memanfaatkan sektor ini secara serius memandangkan Malaysia mempunyai reputasi membekalkan minyak sawit mentah terbaik di dunia.
"Bangladesh juga memerlukan lebih 100,000 pekerja dalam industri tekstil dan pembuatan, bahkan gaji ditawarkan juga berpatutan selain lain-lain manfaat setanding dengan Malaysia," katanya.
"PAPSMA menyeru kepada kerajaan untuk memberikan arahan dan dasar yang jelas dengan garis masa yang pasti dalam proses pengambilan pekerja asing ini untuk menyokong industri secepat mungkin," katanya.