Wau patak belah laga 'bertarung' di udara

Iklan
Para pemain berusaha melagakan wau masing-masing dalam Pertandingan Wau Patak Belah Laga di Kampung Raja Barang, Chendering di Kuala Terengganu, baru-baru ini. (Gambar kecil: Tuan Abu Bakar (kiri) dan Syed Mohd Hamidi)

KUALA TERENGGANU - Sambutan hangat terhadap permainan secara dalam talian tidak melumpuhkan permainan tradisional iaitu permainan wau digelar wau patak belah laga yang sinonim dalam kalangan penduduk Kampung Raja Barang, Chendering di sini.

Antara keunikan permainan ini ialah kaedah perlawanannya yang menghendaki pemain menang dalam 'pertarungan' di udara sebelum dinobatkan sebagai pemenang.

Iklan
Iklan

Penduduk, Tuan Abu Bakar Tuan Abdullah, 64, berkata, permainan wau patak belah laga hanya popular di kampung itu dan menjadi permainan tradisi sejak lebih lima dekad lalu oleh golongan nelayan dan petani.

Menurutnya, kaedah permainan wau tersebut berbeza berbanding wau lain kerana pemain perlu melagakan dan menjatuhkan wau lawan ketika diterbangkan di udara.

Iklan

"Biasanya, pemain diberi tempoh dua minit untuk menyingkirkan lawan sebelum layak ke peringkat seterusnya. Jika kedua-dua wau masih berlaga di udara, tempurung kelapa akan digunakan untuk mengira masa dengan bergantung kepada tempoh yang digunakan untuk tempurung tenggelam ke dalam bekas berisi air.

"Pemain yang dapat menjatuhkan wau lawan serta berjaya memutuskan tali pada wau akan diangkat sebagai pemenang," katanya ketika ditemui dalam Pertandingan Wau Patak Belah Laga di sini, baru-baru ini.

Iklan

Tuan Abu Bakar berkata, antara bahan digunakan untuk menghasilkan wau itu ialah buluh, benang dan kertas.

Katanya, kos menghasilkan wau patah belah laga mencecah antara RM120 hingga RM300 bergantung kepada saiz dan keupayaan wau tersebut.

Sementara itu, penganjur pertandingan, Syed Mohd Hamidi Syed Draman, 35, berkata, pertandingan wau yang diadakan itu menarik minat golongan muda untuk tidak ketinggalan mempamerkan kebolehan dalam permainan itu.

Katanya, permainan itu juga dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti setempat setelah sekian lama tidak dapat berkumpul sejak pandemik Covid-19.

"Penganjuran aktiviti ini bukan sahaja dapat memperkenalkan permainan wau tradisional kepada generasi muda, malah mengeratkan hubungan sesama penduduk di kampung ini.

"Permainan ini sebenarnya masih mendapat sambutan hangat dalam kalangan golongan muda berdasarkan jumlah penyertaan yang tinggi dalam kalangan peserta muda," katanya.