SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan syarikat Sapura Energy Bhd (SEB) bukanlah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebelum tahun 2019 dan tidak berada di bawah pengawasan dan pengawalan semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
Najib berkata, beliau tidak bersuara sewaktu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SEB dibayar dengan gaji lumayan berikutan syarikat tersebut ketika itu masih berstatus swasta.
"Syarikat tersebut adalah syarikat swasta yang juga dibina dan dimiliki CEO tersebut untuk menjadi syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar dalam dunia.
"Ia bukan GLC dan tidak di bawah pengawasan dan pengawalan saya semasa saya Perdana Menteri.
"Syarikat swasta yang bayar, pemegang saham dan lembaga pengarah swasta yang luluskan gaji dan pampasan bagi pengurusannya.
"Dia nak dibayar RM1 bilion setahun pun bukan masalah kerajaan selagi pemegang-pemegang saham dan lembaga pengarah SEB izinkan. Tidak kena mengena dengan kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang menyatakan Pengarah Eksekutif SEB telah diberi bayaran anggaran RM983 juta bermula 2009 hingga 2018 ketika Najib menjadi Perdana Menteri.
Menurut beliau, pembayaran tersebut adalah dalam bentuk gaji, upah, sewa dan yuran harta intelek yang secara jelas tidak adil kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).
Najib dalam pada itu turut mempertikaikan pendirian bekas Ahli Parlimen Pandan itu ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyuntik dana tambahan sebanyak RM2.7 bilion ke dalam SEB pada tahun 2019 untuk menjadi pemilik saham terbesar dengan pegangan 40 peratus, meskipun mengetahui gaji bekas CEO amat tinggi.
"Yang bail-out, korang. Tapi kamu bisu masa itu. Dengan itu, SEB menjadi GLC pada tahun 2019 dan bekas CEO itu bersara sebagai CEO pada Mac 2021.
"Seluruh pengurusan atasan dan Lembaga Pengarah SEB juga telah bertukar,” katanya.
Najib berkata, tindakan Rafizi ketika ini adalah contoh masalah pemikiran dan pendekatan pemimpin PH serta antara sebab mereka tidak boleh lagi diberi peluang untuk memerintah negara dan menjaga ekonomi.
Tambahnya, mereka lebih cenderung untuk cari salah, bukan untuk menyelesaikan masalah demi menjaga kepentingan rakyat dan ekonomi.
"Kita ada peluang untuk selamatkan ekonomi dan potensi untuk menjana kembali kekayaan dengan memulihkan sebuah syarikat terbesar dalam sektor industri terpenting negara pada ketika permintaan dunia bagi perkhidmatan minyak dan gas adalah tinggi dengan harga tinggi.
"Sekiranya Petronas yang amat memerlukan perkhidmatan SEB mengambil alih atau membantu SEB, kerajaan tak perlu gunakan satu sen pun untuk memulih SEB.
"Malah berpotensi untuk mengaut keuntungan berpuluh ganda setelah nilai SEB dipulihkan ke keadaan sebelum ini,” jelasnya.