Dulu buat 'game', kini pereka sistem simulasi perang dan ketenteraan

Iklan
Syed Mohamad Jamil

KUALA LUMPUR ‐ Sistem simulasi peperangan dan latihan ketenteraan yang dibangunkan sepenuhnya oleh anak watan mampu bersaing dengan produk keluaran antarabangsa.

Pengarah Urusan Ikramatic Systems Sdn Bhd, Syed Mohamad Jamil Syed Ahmad berkata, bermula dengan pembikinan sistem simulator penerbangan pada 1998, syarikat tersebut mula mereka bentuk perisian simulasi peperangan sejak lima tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Saya asalnya pengatur cara komputer, selepas habis belajar saya suka buat 'game' termasuk 'flight simulator'.

"Sampai satu ketika ada seorang kawan, dia ini seorang juruterbang... selepas dia tengok apa yang saya buat itu dia kata ia boleh dikomersialkan.

Iklan

"Dari situ dia bagi input bagaimana sebuah pesawat berfungsi, kemudian kami bentangkan simulasi tersebut kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan itulah projek pertama kami masih ada lagi di Kedah sekarang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Rabu.

Beliau berkata, sistem rekaan mereka iaitu Integrated Shooting Marksmanship Trainer (Ismat) yang dipamerkan di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2022 berjaya menewaskan produk luar negara dalam bidaan tender terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

Sistem Ismat yang dipamerkan di Pameran DSA dan Natsec 2022 menerima sambutan daripada anggota keselamatan.

Iklan

Katanya, Ikramatic Systems Sdn Bhd turut menghasilkan perisian simulasi realiti maya (Simbat), sebuah sistem latihan taktikal dalam alam maya yang imersif dan realistik dengan mengaplikasikan teknologi realiti maya (VR).

Jelasnya, sistem Simbat yang perisiannya direka sepenuhnya oleh anak Malaysia itu setaraf, malah mungkin lebih baik dan canggih daripada sesetengah produk keluaran syarikat antarabangsa.

"Walaupun kita agak lewat, tetapi bila bercakap tentang teknologi semua orang ada akses kepadanya.

"Bila saya bermula lambat sikit, saya bermula dengan menggunakan teknologi yang terbaharu, dibandingkan dengan pesaing, dia orang masih pakai teknologi lama. Dia dah seronok pakai yang lama jadi lambat sikit nak berubah.

"Contohnya jika dibandingkan dengan sebuah produk dari Amerika Syarikat (AS), sistem VR mereka masih memerlukan pengguna memakai komputer di belakang badan, sedangkan kami semuanya sudah 'wireless',"jelasnya.

Beliau menyasarkan untuk menempatkan sistem simulasi rekaan mereka di semua pangkalan askar dalam negara kerana mampu memberikan penjimatan kepada ATM dan pada masa sama mengoptimumkan latihan anggota tentera.

"Kalau boleh, kenapa tidak? Saya nak letak sistem ini di semua kem askar, ramai juga askar yang cadang macam itu kerana sistem ini memudahkan latihan malah peluru pun dah percuma," ujarnya.